Header Ads

test

KEDAH PERKENAL VARIETI DURIAN BAHARU J.SPARROW, JERAI


 

SUNGAI PETANI – Kedah memperkenalkan varieti durian baharu dikenali D216 (J.Sparrow) dan D217 (Jerai) yang ditanam di Projek Kluster Durian Kampung Sungai Tok Pawang, Bedong, di sini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan, Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Pengangkutan dan Hal Ehwal Masyarakat India, YB Dato’ Azman Nasrudin, berkata durian klon itu adalah yang pertama didaftarkan di Kedah dengan kerjasama Jabatan Pertanian Kedah.

 

"Kedah menawarkan varieti baharu iaitu D216 J.Sparrow dan D217 Jerai di mana saya yakin rasa, bentuk, rupa dan keistimewaannya yang tersendiri bakal mendapat permintaan tinggi dari penggemar durian di negara ini.

 

"Kita harapkan dengan adanya variety hasil produk keluaran baharu ini menjadi kebanggaan Kedah kerana keunikan dan rasa tersendiri adalah setaraf buah berjenama lain," katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada akhbar selepas merasmikan Majlis Memperkenalkan Varieti Baru Durian D216 dan D217 Bersama Media di Projek Kluster Durian Kampung Sungai Tok Pawang (Hin Bee Plantation Sdn. Bhd.) di sini, pada Isnin.

 

Katanya lagi, durian D216 mempunyai ciri-ciri berbentuk ‘ovabat’, isi perang kuning muda, kulit berwarna perang hijau gelap dan berat purata 1.5 kilogram serta berkrim lemah. D217 pula buah berbentuk ‘ovat’, mempunyai isi kuning muda, kulit perang hijau tua dan berat purata 3.3 kilogram serta berkrim kuat.

 

“Kita harapkan dengan adanya varieti hasil produk keluaran baharu cantuman klon ini menjadi kebanggaan Kedah kerana keunikan dan rasa tersendiri adalah setaraf buah berjenama lain," ujarnya.

 

Dalam perkembangan yang sama, pemilik ladang yang juga pengasas durian varieti J. Saprrow dan Jerai, Teoh Seng Khoon berkata ketika ini ladang durian miliknya mempunyai tujuh pokok durian J.Sparrow dan 10 pokok durian Jerai yang berusia 10 hingga 40 tahun.

 

"Bagi mana-mana peminat raja buah yang ingin mengenali durian jenama J.Sparrow dan Jerai dengan lebih dekat, boleh datang ke Lot 5160 Kampung Ketapang, Sungai Tok Pawang untuk merasai keenakan dan kelazatannya yang saya yakin mampu menambah hati penggemarnya," katanya.

 

Turut hadir, Pengarah Pertanian Negeri Kedah, Ramli Abdul Rahman, Timbalan Pengarah Pertanian Negeri Kedah (Pengembangan), Nor Hafizah Abdul Rahman dan Pegawai Pertanian Daerah Kuala Muda, Rohana Tuan Muda.

Tiada ulasan