Header Ads

test

BERKAT TOK GURU, LAHIRKAN RAMAI PENDAKWAH


BALING – Ramai tokoh-tokoh dan para pendakwah yang lahir daripada pelbagai jenis sekolah agama atau pondok di Kedah pada suatu ketika dahulu berkat didikan para tuan guru.


Menurut Menteri Besar, YAB Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor, cabaran yang dihadapi ketika ini adalah untuk melahirkan lagi tokoh-tokoh berkualiti seperti itu pada keadaan cabaran semakin besar hari ini.


“Dengan penganjuran Jejak Murobbi pada hari ini saya berharap sistem pendidikan agama yang diasaskan oleh tok-tok guru dulu yang melahirkan para murid yang sedia berkhidmat untuk dakwah akan kekal sebagai ‘kilang’ melahirkan insan yang baik,” ujar Sanusi dalam Majlis Penyampaian Anugerah Jejak Murabbi Ummah Tahun 2022 bertempat di Sekolah Menengah Agama Yayasan Khairiah, Kupang di sini hari ini.


Menteri Besar turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman yang berjaya mengenalpasti tokoh-tokoh Murabbi dan juga Institusi Pendidikan Islam di negeri ini.


Jelasnya, Jejak Murabbi ini merupakan satu manifestasi kesungguhan dalam usaha membantu kerajaan dalam memartabatkan Pendidikan Islam di Kedah.


"Alhamdulillah di Kedah masih ada tok guru untuk dijadikan rujukan masyarakat dan sebaran anasir yang membawa aliran baru tak diterima kerana kita ada asas yang kuat oleh tok-tok guru lama ni," kata beliau ketika ditemu bual oleh wartawan selepas program.


Mengulas lanjut Muhammad Sanusi berkata walaupun sistem pembejaran semakin berkembang dan moden tetapi asas kepada pendidikan adalah guru dan murid, seorang murid mesti hormat kepada cikgu.


Tambahnya, kini keperluan sukatan subjek dalam pendidikan sudah jauh berubah maka guru mestilah melakukan penambahbaikan dan kemajuan.


“ Saya harap sistem yang ada di sekolah agama ini, kita dapat bina anak murid beremosi stabil dan keintelektulan yang tinggi dan setanding dengan sistem pendidikan,” katanya.


Kata beliau lagi, pihak sekolah, pengurusan termasuklah pihak kerajaan mestilah melipatgandakan perhatian dan kreativiti masing-masing untuk menghadapi cabaran yang besar dunia pendidikan kini untuk melahirkan insan yang boleh menjadi pendakwah dan pembimbing masyarakat.



#MediaMBKedah
#UrusSetiaPeneranganDarulAman


 

Tiada ulasan