Header Ads

test

KEDAH PERLU LAHIRKAN TENAGA MAHIR BAGI SEIMBANGKAN KEPERLUAN INDUSTRI


KUBANG PASU – Kerajaan Negeri bekerjasama rapat dengan semua sektor di negeri Kedah khususnya Institut Pengajian Tinggi (IPT) bagi memastikan keperluan-keperluan industri terutamanya tenaga kerja yang bertepatan dengan kehendak industri dapat dipenuhi.


Pengerusi Jawatankuasa Industri Pelaburan, Sains, Teknologi & Inovasi dan Pengajian Tinggi, YB Dato’ Wira Ku Abd Rahman Ku Ismail berkata, seruan daripada kerajaan ini perlu disahut oleh semua IPT bagi menyusun gerak langkah yang tersusun bagi memastikan sinergi antara segmen pendidikan tinggi dan industri dapat diseimbangkan.


“Saya yakin dengan gerak langkah yang diatur secara tersusun mampu untuk merealisasikan kehendak Kerajaan Negeri untuk memperkasakan ekosistem industri di negeri ini.


“Sekarang ini, negeri Kedah mendapat perhatian para pelabur sama ada di dalam atau luar negara. Kita menjadi destinasi pilihan utama para pelabur dan hal ini terbukti apabila prestasi kemasukan pelaburan dicatatkan pada tahun lepas mencecah hingga RM68.3 bilion. Jumlah ini meletakkan Negeri Kedah berada pada kedudukan kedua tertinggi dalam negara,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ucapan aluan Sempena Perasmian Pembukaan Ekspo Pendidikan Tinggi Dan Kerjaya Negeri Kedah Tahun 2022 di Dewan Sri Mas, Polimas, Jitra, pada Jumaat.


Katanya, tujuan diadakan ekspo ini adalah untuk memberi pendedahan peluang-peluang pendidikan yang terdapat di Negeri Kedah kepada orang ramai khususnya para lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), diploma dan sebagainya.


“Matlamat terdekat pelaksanaan ekspo ini adalah untuk memberi pendedahan peluang-peluang pendidikan kepada rakyat di Negeri Kedah namun matlamat besar yang cuba dicapai oleh Kerajaan Negeri adalah untuk merintis kerjasama yang lebih erat di antara IPT dan industri dimasa hadapan. 


“Komponen kerjaya ini kita buat adalah untuk memberi pencerahan kepada semua lepasan graduan syarikat-syarikat terkenal kita bawakan. Ada yang saya sendiri pi tengok ada dibuat temuduga terbuka secara langsung. Tidak rugi siapa yang hadir,”ujarnya.

Tiada ulasan