Header Ads

test

RM1.5 JUTA KOS BINA SEMULA JAMBATAN RUNTUH



KUALA KETIL – Berita gembira buat 3,000 penduduk Daerah Kuala Ketil apabila jambatan yang runtuh tiga bulan yang lalu dibina semula dengan peruntukan sebanyak RM1.5 juta.


ADUN Kuala Ketil, YB Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, jambatan ini mula dibina bermula awal Jun ini.


Katanya, jambatan itu merupakan laluan utama penduduk untuk ke pekan Merbau Pulas dan pembinaan semula ini diubah suai menjadi lebih lebar bagi menambah keselesaan penduduk.


“Dengan musibah tersebut menyebabkan berlakunya kesukaran kepada penduduk kampung disebabkan tiadanya jalan keluar. Rundingan terpaksa dibuat dengan pihak estate bersebelahan bagi membolehkan penduduk keluar bagi urusan harian, walaupun jaraknya hampir tiga kilometer, dengan jalan tanah yang becak, lembik bila hujan serta keadaan yang gelap. 


“Inilah kesukaran yang terpaksa dilalui penduduk sehingga titi baru dibina. Harapan demi harapan sangat ditunggu-tunggu oleh setiap penduduk,” ujarnya.


Jelasnya, melihat kepada kesukaran ini, kerajaan negeri melalui mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah diputuskan menyegerakan pembinaan jambatan ini.


“Alhamdulillah, pihak kontraktor (UCM Construction) telah pun dilantik bagi tujuan ini. Difahamkan kerja-kerja binaan akan dimulakan bulan Jun ini. Sesungguhnya ini adalah berita gembira buat diri saya sendiri dan penduduk kampung amnya,” tambahnya lagi.


Beliau juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Haji Isahak Murad yang hadir tinjau keperluan semasa projek pembinaan jambatan ini dan kepada pihak estate yang memberi keizinan menggunakan jalan bagi memudahkan penduduk. 


Dalam perkembangan yang sama, jambatan ini bakal disiapkan sepenuhnya pada Oktober tahun ini.

Tiada ulasan