Header Ads

test

RM931 JUTA DIPERUNTUKKAN BAGI MENAIK TARAF LIMA LRA


ALOR SETAR – Kerajaan negeri menganggarkan peruntukan RM931 juta diperlukan untuk menaik taraf lima loji rawatan air (LRA) bagi menyelesaikan isu kekurangan bekalan air bersih yang berlarutan sekian lama di negeri itu.

Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, masalah bekalan air yang telah berlarutan sejak bertahun-tahun lama ini menjadi komitmen utama beliau sejak mengambil alih tampuk kepimpinan negeri pada 17 Mei 2020.

Katanya komitmen utama ini disambut baik oleh semua pihak yang berkaitan terutama daripada Kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Ahli EXCO, pegawai-pegawai tadbir negeri (KCS), Syarikat Air Darul Aman (SADA) dan juga pihak-pihak lain.

“Pada pagi ini kita semua akan menyaksikan pecah tanah satu daripada lima projek yang telah saya sebutkan tadi iaitu projek menaik taraf LRA Pelubang,” ujar Sanusi ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Menaik Taraf Loji Rawatan Air Pelubang, Kubang Pasu, di sini hari ini.

Menurut Muhammad Sanusi, projek ini cukup bermakna dan signfikan kerana ia adalah projek yang terbesar berbanding empat lagi projek naik taraf LRA yang sedang diusahakan.

Justeru, projek yang menelan kos RM431 juta ini melibatkan pembinaan LRA dan pemasangan jajaran paip baru diperuntukkan bagi memenuhi permintaan bekalan air di sebahagian besar wilayah utara Kedah meliputi daerah Kubang Pasu, Kota Setar serta sebahagian Yan dan Pendang.

Jelas beliau bekalan air amat diperlukan khususnya menjelang 2035 ini di mana banyak projek yang telah dirancang bagi mencapai satu kedudukan yang lebih baik bagi negeri dan rakyat Kedah.

Menteri Besar turut menyatakan harapan kepada para kontraktor dan syarikat yang dilantik untuk menyiapkan projek lima LRA ini walau apa pun cabaran di hadapan.

“Yakinlah kalau kita beri keutamaan kepada matlamat akhir semua projek ini iaitu keselesaan rakyat Kedah yang rata-ratanya orang miskin, Allah akan tambahkan nikmat dan memudahkan urusan syarikat tuan-tuan,” ujar beliau.


 

Tiada ulasan