Header Ads

test

KEDAH CONTOHI CORDOBA LAHIRKAN GENERASI HOLISTIK


ALOR SETAR – Kerajaan negeri menjadikan Cordoba sebagai contoh dan teladan dalam membangunkan institusi pendidikan bagi memenuhi keperluan tenaga mahir di Kedah.


Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Afnan Hamimi Dato’ Haji Taib Azamudden berkata, keperluan sekarang sangat mendesak dan menjadi keutamaan kepada semua dalam melahirkan generasi berperwatakan holistik.


 “Kita melihat sejarah Cordoba melahirkan manusia yang mempunyai lengkap disiplin ilmu keperluan duniawi dan ukhrawi yang tidak terpisah walaupun penuh dengan cabaran dan dugaan pada ketika itu.


“Keperluan ini yang perlu ada di negeri kedah khususnya dan negeri lain amnya bagi menepati cabaran globalisasi dunia sekarang,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika merasmikan Wacana Pemikiran Ketua Nazir Sekolah di Wisma Darul Aman, hari ini.


Katanya, falsafah Cordoba itu perlu diterjemahkan dalam pemerkasaan institusi pendidikan sehingga munculnya sebagai Cordoba of Kedah.


Menurut Ketua Nazir Sekolah Jemaah Nazir Kementerian Pendidikan Malaysia, Haji Shafruddin Haji Ali Hussin berkata, pemimpin sekolah adalah berperanan dan bertanggungjawab memastikan sekolah dan murid berada di landasan yang betul bagi mencapai tahap kecemerlangan yang tinggi.


“Guru Besar bukan setakat memberi teladan malah perlu mengetahui segala sudut berkaitan sekolah. Kenali guru-guru dan murid. Itu yang sepatutnya yang dilakukan oleh pemimpin sekolah.


“Pimpinan perlu mengamalkan pendekatan terbuka bersama guru-guru untuk memastikan semua guru berkongsi rasa dan menghidupkan suasana sekolah seperti sebuah keluarga.


 “Pencapaian dan kecemerlangan sesebuah sekolah terletak pada corak kepimpinan. Di sini dapat dilihat kebijaksanaan pemimpin untuk memastikan visi dan misi yang disasarkan itu tercapai,” katanya.


Wacana ini dihadiri seramai  120 peserta terdiri daripada wakil Jabatan Nazir Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia, Lembaga Maktab Mahmud, Majlis Guru Besar, Majlis Pengetua Sekolah Malaysia, Majlis Guru Cemerlang, Majlis Agama Islam Kedah, Institut Pendidikan Guru dan Institut Aminuddin Baki.

Tiada ulasan