Header Ads

test

‘KELUARGA MALAYSIA TEGUH BERSAMA’ SELARAS DENGAN KONSEP KEHARMONIAN



ALOR SETAR - Tema Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia iaitu ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ bersesuaian dengan iltizam dan konsep keharmonian sebuah keluarga besar yang hidup aman damai dan bersatu padu dalam keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.


Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan Dan Kibar Jalur Gemilang 2022 Peringkat Negeri Kedah bertempat di Tugu Peringatan Jalan Tunku Bendahara di sini hari ini.


Jelas beliau ‘Teguh Bersama’ merujuk kepada kekuatan dan kesepaduan yang dicapai hasil tindakan secara kolektif oleh Keluarga Malaysia bagi menjamin kejayaan dalam apa jua bidang yang diceburi.


Tegasnya cabaran yang dihadapi ketika ini ialah untuk mengisi setiap detik perjalanan dalam tempoh kemerdekaan iaitu tempoh yang lebih mencabar daripada detik-detik mencapai kemerdekaan.


Menteri Besar turut mengajak agar seluruh masyarakat berganding bahu bersungguh-sungguh memastikan pengisian kemerdekaan memberi makna yang sebenar bahawa kita telah merdeka dari sudut fizikal, mental dan jiwa.


“Saya yakin, apabila kita melakukannya secara bersama-sama, tiada siapa yang mampu mengganggu-gugat keteguhan Keluarga Malaysia,” ujar beliau.


Tambah Muhammad Sanusi, semangat patriotisme perlu disematkan di hati untuk mempertingkatkan lagi keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan Keluarga Malaysia demi negara tercinta.


“Saya menyeru seluruh Keluarga Malaysia rakyat di negeri Kedah Darul Aman untuk bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang di premis-premis perniagaan dan di rumah masing-masing,” katanya.


#MediaMBKedah
#UrusSetiaPeneranganDarulAman


 

Tiada ulasan