Header Ads

test

PERHIMPUNAN LEMBU SADO LANGKAWI PUPUK MINAT BELIA JADI PENTERNAK




LANGKAWI - Himpunan Sado Edisi Khas Langkawi berjaya mengumpulkan penternak lembu sado dan pemain industri penternakan haiwan ruminan di Daerah Langkawi. Tiga kategori dipertandingkan iaitu kategori Brahman Special Award, Prince Junior dan Princess Junior. 


Majlis perasmian disempurnakan oleh Exco Pertanian dan Perladangan, YB Haji Dzowahir Haji Ab Ghani. Beliau menyatakan rasa bangga dengan penglibatan anak muda tempatan dalam bidang penternakan yang sebelum ini kurang diminati.


Beliau berharap himpunan pertama ini mampu menjadi pemangkin semangat kepada penternak baru dan membuka mata lebih ramai belia untuk terlibat secara langsung dalam penternakan lembu sado dan penternakan ruminan.


"Saya dapat melihat semangat anak tempatan  menceburi dalam bidang penternakan dan pertanian daripada program ini. Dengan minat dan keazaman yang ditunjukkan, saya yakin kita akan dapat mencapai hasrat menjadikan negeri Kedah ini pengeluar hasil pertanian dan ternakan utama di negara kita," ujar YB Dzowahir.


Timbalan Pengerusi Koperasi Ternakan Lembu SADO Berhad dalam ucapannya berkata hampir 70 peratus penternak lembu sado Langkawi menyertai perhimpunan itu, ia suatu pencapaian yang amat baik untuk pendedahan dan jaringan antara Pejabat Perkhidmatan Veterinar Langkawi, penternak dan pemain industri.


"Saya berharap himpunan penternak lembu sado kali pertama di Langkawi ini mampu menjadi pembakar semangat kepada penternak dan membuka mata lebih banyak pihak untuk terlibat secara langsung dalam penternakan lembu sado bagi mengimbangi kebergantungan kepada daging import," ujar Zakirin.


Para penternak turut diberi peluang untuk bersoal jawab dengan YB Dzowahir dan Pengarah Perkhidmatan Veterinar Kedah, Dr. Shaharul Akmar Talib dalam sesi dialog sempena Hari Bertemu Pelanggan Pejabat Perkhidmatan Veterinar Langkawi.


Pada penghujung program, Exco Pertanian dan Penternakan dibawa melawat tapak pameran lembu sado bersebelahan tapak program.


Turut hadir, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan, YB Mejar (B) Mansor Zakaria, Ahli Parlimen Langkawi, YB Dato' Suhaimi Abdullah, ADUN Ayer Hangat, YB Shamsilah Siru dan ADUN Derga, YB Muhamad Amri Wahab.

Tiada ulasan