YAYASAN KEDAH SEJAHTERA, PENDUKUNG MISI KERAJAAN NEGERI
ALOR SETAR- Penubuhan Yayasan Kedah Sejahtera selari dengan misi pentadbiran kerajaan negeri, 'Kedah, Tempat Orang Miskin Berteduh, Tempat Orang Kaya Berbakti'.
Menteri Besar Kedah, YAB Dato' Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor berkata, penubuhan Yayasan itu bukan sekadar seiring malah menjadi pendokong yang paling kuat yang memberi nilai dan makna dalam usaha kerajaan mencapai matlamat.
"Tentunya harapan saya sangat tinggi untuk melihat Yayasan Kedah Sejahtera dapat menjadi tulang belakang kepada Kerajaan Negeri demi merealisasikan Kedah, Tempat Orang Miskin Berteduh, Tempat Orang Kaya Berbakti," ujar beliau ketika merasmikan penubuhan Yayasan Kedah Sejahtera bertempat di Hotel Jerai, di sini hari ini.
Tambah beliau, Yayasan Kedah Sejahtera diharapkan bersama dengan kerajaan negeri menyebarkan mesej ‘Sejahtera’ ke semua peringkat masyarakat agar semua dapat memahami aspirasi dan komitmen kerajaan.
Muhammad Sanusi turut menjelaskan ‘Sejahtera’ sama erti dengan 'salaam' yang menjadi kata asas bagi Islam.
Slogan Kedah Sejahtera katanya adalah kesinambungan legasi yang ditinggalkan oleh Mantan Menteri Besar Kedah, Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abd Razak.
"Ia adalah suatu legasi yang singkat tapi penuh dengan makna.
"Saya sangat merasai ketekunan, keberanian dan jiwa besar Almarhum dalam memajukan negeri ini. Semoga slogan ini terus sebati dengan negeri Kedah," kata Sanusi.
Post a Comment