Header Ads

test

KEDAH PERKASA PRODUK EKO PELANCONGAN DI BALING ALOR SETAR- Kerajaan negeri merancang untuk memperkasakan produk-produk pelancon...


KEDAH PERKASA PRODUK EKO PELANCONGAN DI BALING ALOR SETAR- Kerajaan negeri merancang untuk memperkasakan produk-produk pelancongan yang bersifat eko pelancongan dalam daerah Baling agar dapat menarik lebih ramai pelancong. Menteri Besar Kedah, YAB Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata terdapat beberapa kawasan eko pelancongan di situ yang akan terus diberi perhatian oleh pihak kerajaan seperti Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Legong, Kawasan Perkelahan Air Terjun Lata Hijau dan Lata Bayu serta Gunung Baling. Tambah beliau, kerajaan negeri melalui Pelan Kedah 2035 akan memastikan identiti setiap daerah dapat dibangunkan bukan sekadar kemajuan pembangunan. "Saya berharap Pelan Kedah 2035 ini akan membangunkan semua daerah di Kedah dengan identiti masing-masing dan tidak dikira kayu ukur kemajuan dengan pembangunan sahaja. "Saya melihat jauh daerah Baling lebih baik daripada Sik, Padang Terap dan Pendang dari sudut pembangunan kemanusiaan dengan banyaknya pondok, pusat pengajian dan kepimpinan masyarakat Baling jauh lebih terkedapan," ujar Sanusi. Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan yang diajukan oleh ADUN Kupang, YB Briged Jeneral Dato' Haji Najmi Ahmad (B) berkenaan perancangan kerajaan untuk menjadikan daerah mundur seperti Baling dapat dilonjak pada Pembentangan Sidang Bajet Kedah 2024 di Wisma Darul Aman hari ini. Jelas beliau, Baling merupakan antara daerah yang termiskin di Kedah. Pelan Pembangunan Kedah 2035 menetapkan Baling sebagai sebuah daerah Pelancongan Eko dengan mengambil kira rupa bumi, hutan serta guna tanah yang berpotensi untuk dibangunkan produk pelancongan semulajadi. Menurut Muhammad Sanusi lagi, Kajian Pelan Pembangunan Pelancongan Rangkaian Gua juga dilaksanakan oleh PLANMalaysia@Kedah di gua sekitar Baling seperti di Gunung Pulai melibatkan Gua Sireh, Gua Badak, Gua Landak dan Gua Air di Bukit Wang. Katanya, kajian itu adalah salah satu usaha untuk mempelbagaikan dan menambah nilai produk pelancongan eko yang telah mula mendapatkan perhatian para pelancong. "Kerajaan negeri merancang untuk memohon peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan melalui NCIA bagi penyediaan infrastruktur yang bersesuaian. "Oleh kerana daerah Baling kita tetapkan sebagai ekopelancongan, maka projek-projek yang boleh menjejaskan rancangan itu seperti projek kuari ditangguhkan khususnya di kawasan gua," kata beliau. #UrusSetiaPeneranganDarulAman #sidangbajetkedah2024 #sidangDUN -UPDA 11/27/2023, 1:15:06 PM 

Tiada ulasan