Header Ads

test

KARNIVAL KEUSAHAWANAN KEDAH, SEMARAKKAN SEMANGAT USAHAWAN



ALOR SETAR – Karnival Keusahawanan Kedah 2023 anjuran kerajaan negeri bertujuan untuk menyemarakkan semangat disamping menyediakan peluang kepada usahawan Kedah memasarkan produk serta perkhidmatan mereka.


Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan, YB Dato’ Mohd Salleh Saidin program itu juga antara platform terbaik untuk mencetuskan inspirasi dan pentas yang sesuai untuk berkongsi ilmu sambil membina ekosistem yang teguh dalam dunia keusahawanan.


Katanya, kerajaan negeri sentiasa meletakkan bidang keusahawanan sebagai keutamaan serta pelbagai langkah diambil bagi membantu para usahawan dan seterusnya melonjakkan sektor itu. 


“Perjalanan sebagai seorang usahawan penuh dengan cabaran jadi saya nak pesan lima perkara pada pertemuan kita ini.


“Mulakan perniagaan dengan niat yang ikhlas, yakin dengan kemampuan diri sendiri, hayati konsep bekerjasama, jangan pernah berhenti belajar dan kongsikan kejayaan saudara kepada orang lain melalui pembayaran zakat, sedekah dan sebagainya,” ujarnya semasa Majlis Perasmian Karnival Keusahawanan Kedah 2023 bertempat di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti di sini hari ini.


Tambah beliau, dalam pembentangan bajet negeri Kedah 2024, kerajaan negeri memperuntukkan RM1 juta untuk pembangunan usahawan melalui sistem pinjaman Mikro Kredit Sejahtera di bawah Unit Pembangunan Usahawan Negeri Kedah (UPUK).


Jelasnya lagi, kerajaan juga memperuntukan RM500 juta kepada usahawan wanita di Kedah dan memperuntukkan 300 geran kepada pengusaha pelancongan.


Mohd Salleh juga menyatakan harapan agar negeri Kedah dapat mengembalikan kembali kegemilangan sebagai pusat perniagaan termahsyur di rantau ini menjelang ‘The Greater Kedah’.


“Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua”


#UrusSetiaPeneranganDarulAman

#UPDA

Tiada ulasan