Header Ads

test

HAK CIPTA PENTING DALAM MENJAGA INTEGRITI PENERBITAN BUKU BALING - Hak cipta, kredibiliti, dan kebebasan bersuara adalah aspek-...


HAK CIPTA PENTING DALAM MENJAGA INTEGRITI PENERBITAN BUKU BALING - Hak cipta, kredibiliti, dan kebebasan bersuara adalah aspek-aspek yang penting dalam menjaga integriti dunia penerbitan dan penulisan. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan, YB Dato' Haji Mohd Salleh Saidin berkata usaha yang berterusan seperti yang dilakukan oleh Perpustakaan Negara melalui penganjuran program hari ini akan memberi kesan besar terhadap industri perbukuan dan budaya pembacaan rakyat negara ini. Tambahnya, pada masa yang sama ia dapat memupuk kesedaran tentang kedudukan dan peranan hakcipta sebagai harta intelek. "Hari ini kita ada dua sesi bual bicara yang akan berlangsung pertama forum daripada Sasterawan Negara kita iaitu Datuk Dr. Zurinah Hassan yang dibawa khas oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan satu lagi Sembang Sejarah @Muzium Kedah – Rundingan Baling 1955 – Where The Eyes Met yang akan menceritakan insiden-insiden yang tidak pernah diceritakan sebelum ini. "Inisiatif penganjur mengadakan program bual bicara dan pelancaran buku dan kitab seiring dengan Program Jom Baca Bersama 10 Minit ini adalah langkah bijak yang mencerminkan kesungguhan dalam usaha memandaikan khalayak." katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Jalinan Ilmu dan Jom Baca Bersama 10 Minit sempena Hari Buku dan Hakcipta Sedunia serta Sembang Sejarah @ Muzium Kedah Rundingan Baling 1955 - Where The Eyes Met bagi tahun 2024 di Dewan Tun Razak di sini, hari ini. Jelasnya setiap sumber perlu diteliti, setiap ejaan perlu diamati, malah pemilihan fonts, reka letak, grafik, semuanya perlu diambil kira kerana selain kandungan, di situlah terletaknya kredibiliti penulis dan penerbit. Menurut beliau budaya membaca juga berubah dan kedudukan buku sebagai sumber ilmu terunggul secara drastik terpaksa dikongsi dan diambil alih oleh kemajuan teknologi. "Kalau dahulu untuk mencari maklumat orang mencari buku, sekarang orang mencari internet. Wajah dan bentuk buku juga mula terbahagi, sebahagiannya kekal sebagai naskhah-naskhah fizikal manakala sebahagian lagi dalam bentuk elektronik dan digital," ujar beliau. Katanya, sudah tiba masanya untuk bergerak dengan lebih proaktif bagi menetapkan aspirasi dan keazaman ke arah prakarsa yang lebih ke hadapan iaitu 'world class knowledge' yang berasaskan dari buku yang berkualiti, karya-karya agung, forum perbahasan yang melahirkan masyarakat yang berfikiran kritis. "Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua" #UrusSetiaPeneranganDarulAman #UPDA -UPDA 4/23/2024, 4:39:38 PM 

Tiada ulasan