Header Ads

test

CUKAI TANAH KEDAH KEKAL, SEMAKAN BELUM DILULUSKAN MTN

 

Roslinda Hashim
Ketua Pengarang UPDA

ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah mengesahkan kadar cukai tanah bagi tahun 2026 tidak dinaikkan berikutan cadangan semakan kadar tersebut masih belum mendapat kelulusan Majlis Tanah Negara (MTN).
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, walaupun kerajaan negeri telah membentangkan cadangan semakan itu, pelaksanaannya tidak dapat dibuat pada tahun ini kerana kelulusan MTN masih belum diterima.
“Untuk tahun 2026, cukai tanah kekal pada kadar sedia ada, hasil negeri sudah tentu terjejas dan menjadi lebih kecil,” katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan Amanat 2026 sempena Program Amanat Tahun Baharu Pentadbiran Tanah Negeri Kedah di Dewan Seri Mentaloon, hari ini.
Menurut beliau, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) bersama Pejabat Tanah Daerah mengambil masa hampir dua tahun untuk membuat semakan melibatkan 870,000 hak milik tanah, selaras peruntukan Seksyen 101 Kanun Tanah Negara (KTN) yang membenarkan semakan kadar cukai tanah dibuat setiap 10 tahun sekali.
“Proses semakan itu melibatkan kos mencecah jutaan ringgit bagi memulakan kajian teknikal dan pentadbiran,” katanya.
Sanusi jelaskan, kelulusan semakan kadar cukai tanah tertakluk kepada Mesyuarat Majlis Tanah Negara seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan bukan melalui kelulusan Kabinet.
“Kita masih menunggu minit mesyuarat MTN. Jika minit menunjukkan cadangan itu tidak pernah dibentangkan, kita akan kemukakan semula. Jika sudah dibentangkan, kita akan lihat sama ada diluluskan atau sebaliknya,” katanya.
Tambah beliau, sekiranya diluluskan kelak, semakan kadar cukai tanah hanya boleh dilaksanakan pada tahun 2027, manakala bagi tahun ini pemilik tanah perlu membayar cukai mengikut kadar sedia ada.
Dalam ucapannya sebelum itu, Sanusi menjelaskan, semakan hasil negeri bukan hanya melibatkan cukai tanah semata-mata, sebaliknya turut merangkumi premium, fi pejabat dan kadar-kadar lain yang diperuntukkan di bawah Kanun Tanah Negara.
“Kadar-kadar lain selain cukai tanah telah diwartakan dan dikuatkuasakan. Ia tidak terikat dengan tempoh semakan 10 tahun. Bila semakan dibuat, bukan semua kadar akan naik, ada yang kekal dan ada juga yang menurun,” katanya.
Beliau berkata, kutipan cukai tanah adalah tanggungjawab pemilik harta dan bukan dikenakan secara sewenang-wenangnya kerana hasil itu digunakan bagi membiayai kemudahan awam seperti jalan, longkang dan lampu.
“Cukai tanah ini bukan kerajaan suka-suka kenakan. Lama sudah cukai tanah diperkenalkan. Ada cukai pintu di bawah PBT, ada cukai tanah di bawah kerajaan negeri. Dua-dua jadi tanggungjawab pemilik harta untuk jelaskan setiap tahun,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah, Datuk Mohamad Arof Darus memaklumkan, pembentangan cadangan semakan kadar cukai tanah telah dibuat pada 17 November lalu, namun sehingga kini PTG masih belum menerima cabutan minit mesyuarat MTN berkenaan.
Katanya, pentadbiran tanah negeri akan mengangkat semula cadangan itu dalam mesyuarat MTN akan datang sementara menunggu keputusan rasmi.
Dalam perkembangan berkaitan, Sanusi menasihatkan semua pemilik tanah di Kedah supaya menjelaskan cukai tanah sebelum 31 Mei ini, bagi mengelak dikenakan tindakan.
“Jumlah tunggakan cukai tanah negeri ketika ini mencecah RM103.19 juta. Mereka yang mempunyai tunggakan diharap bayar tahun ini. Jika bayaran tunggakan dibuat secara sekaligus, kerajaan negeri akan mempertimbangkan pengecualian denda lewat,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan kerajaan negeri akan terus memudahkan kaedah bayaran serta melaksanakan peringatan secara berhemah bagi meningkatkan kadar pematuhan cukai tanah di negeri ini.

Tiada ulasan