Header Ads

test

ISU AIR PERLU DIJADIKAN TITIK PERDAMAIAN BUKAN PERSENGKETAAN

BANDAR BAHARU - Kerjasama yang padu antara semua pihak dalam isu air akan mengelakkan persengketaan dan mewujudkan keadaan damai, harmoni dan aman.


Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar, YB Haji Mohamad Yusuf@Munir Haji Zakaria, adalah menjadi hasrat beliau untuk melihat semua pihak kepentingan terlibat secara langsung dalam pengurusan sumber air untuk sama-sama berganding bahu bagi memastikan pelaksanaan pengurusan sumber air secara lebih berkesan.


“Saya juga mengambil kesempatan ini menyeru kepada semua pihak berkepentingan agar memberi perhatian, tumpuan serta mengambil tindakan yang berterusan demi memastikan pengurusan sumber air di negeri ini dilaksanakan secara lestari bagi menyokong agenda pembangunan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat,” ujarnya dalam Program Hari Air Sedunia tahun 2024 bertempat di Dataran Bandar Baharu, hari ini.


Tambah beliau lagi, program Hari Air Sedunia ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan air terhadap manusia dan alam, meningkatkan kesedaran tentang keperluan menguruskan air secara mampan dan meningkatkan kesedaran untuk sama menghargai nikmat air.


Beliau turut menjelaskan bahawa Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) adalah sebuah agensi pengurusan sumber air di Negeri Kedah bertanggungjawab untuk memastikan sumber air negeri, termasuk lembangan sungai, air tanah dan permukaan, tasik, kolam dan bekas lombong serta persisiran pantai sentiasa berada di dalam keadaan terpelihara.


Sepanjang penubuhan LSANK sehingga kini, katanya pelbagai isu dan pembaharuan yang telah dilaksanakan bagi memberikan perkhidmatan sumber air di Negeri Kedah secara mampan selaras dengan slogan iaitu “Pengurusan Sumber Air Yang Mampan”.


“Dengan adanya LSANK yang diwakilkuasakan dengan peruntukan perundangan dan penguatkuasaan, fungsi LSANK dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan sepertimana yang telah termaktub di dalam Enakmen Sumber Air Kedah 2008,” ujar beliau.


“Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua”


#UrusSetiaPeneranganDarulAman

#UPDA

Tiada ulasan