KEDAH, THAILAND WUJUDKAN JAWATANKUASA PEMBANGUNAN SEMPADAN
ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah dan Gabenor Songkhla, Thailand telah mencapai persetujuan untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa pembangunan sempadan.
Menurut Menteri Besar Kedah, YAB Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor, penubuhan jawatankuasa itu diharapkan dapat mengurangkan isu-isu yang sering terjadi di antara Malaysia dan Thailand.
Usaha berkenaan jelasnya, bagi mengukuhkan hubungan dua hala dan kerjasama memajukan serta meningkatkan sektor pelancongan.
"Kita juga bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Khas Sempadan antara Kedah dan Songhkla untuk menyelesaikan isu dibangkitkan kedua pihak bagi kebaikan bersama terutama dalam sektor perdagangan, pelancongan, pendidikan dan budaya,"katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena kunjungan hormat Gabenor Songkhla di Wisma Darulaman, di sini, hari ini.
Tambah Sanusi, Kedah akan mengadakan lawatan balas ke Wilayah Songkhla dalam masa terdekat bagi membincangkan beberapa isu berbangkit.
"Oleh kerana dalam perbincangan tadi tiada wakil-wakil dari agensi-agensi persekutuan, maka ada beberapa isu yang tidak dapat disediakan jawapan pada kali ini, namun di pihak kita akan adakan lawatan balas ke Wilayah Songkhla, Thailand pada masa terdekat ini,"jelas beliau.
Dalam perkembangan yang sama, Gabenor Songkhla, Mr. Samnuk Promkeaw berkata jawatankuasa khas itu juga dapat membantu mempromosikan kerjasama sempadan, seterusnya memudahkan kerjasama dari sektor ekonomi dan pelancongan.
"Satu Jawatankuasa Pembangunan Sempadan ditubuhkan akan memudahkan kerjasama dari segi ekonomi, pelancongan dan pendidikan pada masa akan datang, ia akan dibincangkan pada lawatan balas nanti," kata Samnuk.
#UrusSetiaPeneranganDarulAman
#mbkedah
#kunjunganhormat
Post a Comment