Header Ads

test

MKK PLATFORM TERBAIK DEKATI MASYARAKAT


MKK PLATFORM TERBAIK DEKATI MASYARAKAT LANGKAWI - Institusi Majlis Ketua Kampung (MKK) adalah platform terbaik bagi mendekati masyarakat, memahami permasalahan yang dihadapi dan membantu memberi maklumat berkenaan bantuan yang kerajaan sediakan untuk dimanfaatkan oleh rakyat. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Insan dan Pembasmian Kemiskinan, YB Ustazah Hajah Siti Ashah Haji Ghazali berkata, MKK mempunyai peranan yang sangat penting yang boleh dikatakan sebagai ejen penghubung antara Kerajaan dengan rakyat. "Rakyat Kedah masih memerlukan perhatian daripada kerajaan terutamanya dari aspek penyediaan kemudahan prasarana yang baik serta program-program pembangunan sosio-ekonomi. "MKK merupakan satu elemen tenaga kerja tambahan yang sangat penting kepada kerajaan yang memerintah," ujarnya. Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyampaian Watikah Majlis Ketua Kampung (MKK) Daerah Langkawi bagi sesi 2024-2026 bertempat di Hotel Adya, Kuah di sini hari ini. Dalam majlis tersebut seramai 116 orang Pengerusi dan Setiausaha MKK yang telah dilantik secara rasminya bagi sesi tahun 2024-2026 menerima watikah. Jelasnya lagi, hubungan dengan masyarakat perlulah didasari dengan semangat untuk memberikan perkhidmatan dengan jujur dan profesional agar masyarakat bersama-sama dalam menjayakan agenda pembangunan yang telah dirancang. Tambah beliau, bagi memperkasakan MKK kerajaan telah menambahkan bilangan MKK sebanyak 215 orang untuk kampung yang memerlukan di daerah yang terlibat. Menurutnya lagi, sebagai pemimpin masyarakat MKK mesti peka dengan halatuju terkini kerajaan, dasar-dasar dan aspirasi yang digariskan agar dapat disampai dengan berkesan dan jelas kepada rakyat. "Saya sangat berharap MKK sentiasa di hadapan dalam menyantuni rakyat; menjadi pihak yang masyarakat rujuk untuk mendapatkan panduan dan bantuan serta sentiasa bersedia berkhidmat kepada masyarakat di kampung masing-masing. "Peliharalah, pertingkatkan perpaduan dan kerjasama sesama MKK agar semua agenda pembangunan yang dirancang oleh Kerajaan dapat dilaksanakan dengan jayanya," harapan beliau kepada MKK. "Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua" #UrusSetiaPeneranganDarulAman #UPDA -UPDA 5/22/2024, 9:00:58 PM 

Tiada ulasan