Header Ads

test

SULTAN KEDAH MOHON JEMAAH HAJI DOAKAN KESEJAHTERAAN NEGARA





ALOR SETAR - Jemaah haji dipohon agar mendoakan negara ini dipelihara kesejahteraan dan dijauhi dari segala bencana serta malapetaka yang tidak diingini.

Sultan Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah bertitah demikian pada Majlis Mengucapkan Selamat Jalan kepada jemaah haji Malaysia, di Hotel Raia, Alor Setar, di sini pada Jumaat. 

Baginda dalam titahnya mengharapkan kesemua jemaah haji menggunakan peluang sebaiknya sebagai tetamu Allah dengan memperbanyakkan amalan wajib dan sunat sebagai tanda mensyukuri atas segala nikmat yang telah dikurniakan.

"Antara hikmah melaksanakan ibadat haji ialah anya dapat melahirkan rasa kesyukuran dan kehambaan seseorangi individu kepada Allah SWT," titah baginda. 

Sultan Sallehuddin juga menasihati kesemua para tetamu Allah yang terpilih pada tahun ini untuk mengekalkan tahap disiplin yang tinggi di samping mematuhi segala arahan dan saranan daripada pihak Tabung Haji (TH). 

“Umat Islam di Negeri Kedah harus bersyukur, kerana TH sentiasa mengambil berat akan kebajikan para jemaah haji, dengan menganjurkan pelbagai kursus, serta menyediakan perkhidmatan dan kemudahan dengan infrastruktur yang baik, bermula di tanah air sehinggalah ke tanah suci”, titah baginda.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan Negeri, Mohd Azam Abd Samat; Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato' Seri Norizan Khazali; Mufti Negeri Kedah, Dato' Paduka Syeikh Fadzil Awang; Ketua Hakim Syarie Negeri Kedah, Dato' Syeikh Abdul Rahman Abdullah; Pegawai Daerah Kota Setar, Hakim Ariff Md Nor dan Pengarah Urusan Kumpulan Dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Syed Hamadah Syed Othman.

Baginda turut menyarankan agar Tabung Haji meneruskan usaha-usaha penambahbaikkan terhadap sistem pengurusan haji agar sentiasa di tahap cemerlang dan terus kekal menjadi contoh kepada negara-negara Islam lain di seluruh dunia. 

Seramai 142 orang bakal jemaah haji daripada negeri Kedah berlepas daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Halim, Alor Setar, Kedah hari ini ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan dijadualkan bertolak ke tanah suci pada penerbangan sewa khas haji pada malam hari yang sama.

“Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua”

#UrusSetiaPeneranganDarulAman#UPDA

Tiada ulasan