TAWARAN MASIH TERBUKA BINA KUIL BAHARU
TAWARAN MASIH TERBUKA BINA KUIL BAHARU KULIM - Kerajaan negeri Kedah masih membuka ruang dan peluang untuk menyelesaikan isu Kuil Sri Maha Mariamman Devasthanam secara damai dan harmoni. Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India & Siam dan NGO, YB Wong Chia Zhen berkata, pihak kerajaan tidak pernah berniat untuk merobohkan kuil itu dan berusaha mencari jalan penyelesaian untuk para penganut kuil Sri Maha Mariamman. Beliau difahamkan bahawa status tanah kuil itu dari dulu adalah tidak sah dari segi undang-undang. "Terdahulu kuil ini didirikan di atas sebuah ladang kelapa sawit yang pada mulanya dimiliki oleh Sime Darby lalu dijualkan kepada kerajaan negeri atas kepentingan awam. "Kini, Kulim High Tech Park (KHTP) telah berada di peringkat Fasa 4a dan akan memasuki Fasa 5 tidak lama lagi. "Tanah yang menjadi isu ini akan digunapakai oleh KHTP dalam pembangunan fasa 4a nanti," ujarnya. Beliau berkata demikian dalam Sidang Media Khas untuk menjawab Isu Perobohan Kuil Sri Maha Mariamman Devasthanam di Pejabat Daerah dan Tanah Kulim, hari ini. Jelasnya, sejak dua tahun lalu, Pejabat Daerah dan Tanah Kulim, KTPC dan YB ADUN Lunas telah mengadakan perbincangan dengan pihak kuil untuk mencapai satu kesepakatan. Kerajaan negeri melalui Pejabat Daerah dan Tanah Kulim menurut Wong telah membuat tawaran berasingan dua tapak tanah untuk tujuan pemindahan kuil dan pihak KTPC akan menampung kos upacara pemindahan terbabit. Bagaimanapun, pihak pejabat tanah dan daerah tidak mendapat maklum balas daripada pihak kuil sama ada melalui surat atau secara lisan berkaitan tawaran berkenaan. "Pihak kerajaan memang tidak berniat untuk mengambil tindakan tegas walaupun terdapat kuasa dalam undang-undang. "Saya berharap tidak ada sesiapa cuba menunggang isu ini untuk kepentingan politik sendiri kerana isu ini berkaitan dengan ketenteraman awam," tegas beliau. "Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua" #UrusSetiaPeneranganDarulAman #UPDA -UPDA 5/19/2024, 9:30:14 PM
Post a Comment