Header Ads

test

GALERI PADI NUKLEAR DILANCARKAN DI KEDAH


GALERI PADI NUKLEAR DILANCARKAN DI KEDAH ALOR SETAR - Pelancaran Galeri Padi Nuklear menunjukkan perkembangan teknologi nuklear dalam penghasilan baka padi yang baik dan mampu menyokong keterjaminan makanan negara. Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan, YB Haji Dzowahir Haji Ab Ghani, beliau menyambut baik penghasilan benih mutan NMR152 oleh Agensi Nuklear Malaysia yang dapat membantu dalam memastikan keterjaminan bekalan makanan asas iaitu beras sekaligus mengawal harga bekalan makanan di Malaysia. Katanya, inisiatif pihak kerajaan dan swasta yang menerokai peluang memodenisasikan sektor pertanian sebagai usaha untuk membangunkan sektor padi secara lestari perlu disokong oleh semua pihak. "Rakyat Kedah perlu dibimbing dan diberi galakan untuk menceburi industri pertanian sebagai petani moden dan berteknologi, sekaligus menjadikannya sebagai satu sumber pendapatan yang mampan dan kukuh serta menguntungkan," ujarnya dalam Program Promosi Bersasar (Technology Preview & Showcase – Tps) Siri 2.0 Zon Utara Dan Pelancaran Galeri Padi Nuklear bertempat di Muzium Padi. Program yang dianjurkan bersama Agensi Nuklear Malaysia dan Lembaga Muzium Negeri Kedah itu disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin. Tambahnya, Program Promosi Bersasar (Technology Preview & Showcase - TPS) adalah program dwi tahunan yang telah dikendalikan oleh Agensi Nuklear Malaysia. Jelas beliau, matlamat utama penganjuran program ini untuk menemukan para pegawai penyelidik ataupun pereka cipta Agensi Nuklear Malaysia dengan pihak industri bagi memperkenalkan perkhidmatan dan produk-produk yang dihasilkan melalui pembangunan dan teknologi yang ada di Agensi Nuklear Malaysia. Katanya lagi, Negeri Kedah turut menyokong Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030 yang telah dilancarkan oleh YB Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi pada 20 September 2023 yang lepas. "Dasar ini adalah agenda negara bagi mengarus perdanakan penggunaan teknologi nuklear secara aman ke arah mempertingkatkan daya saing industri, memperkukuh kesejahteraan rakyat dan memulihara sumber asli dan alam sekitar. "Saya berharap dalam masa beberapa tahun akan datang, negeri Kedah dapat menjadi negeri yang berdaya maju dalam pembangunan sektor pertanian," katanya. "Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua" #UrusSetiaPeneranganDarulAman #UPDA -UPDA 6/13/2024, 4:31:21 PM 

Tiada ulasan