Header Ads

test

MKK PENGGERAK RANGKAIAN PENTADBIRAN KERAJAAN NEGERI

KULIM - Dalam menggerakkan pembangunan, kerajaan negeri Kedah mengiktiraf Majlis Ketua Kampung (MKK) sebagai sebahagian daripada rangkaian kepada pentadbiran kerajaan melalui Pejabat Daerah masing-masing. 

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Insan dan Pembasmian Kemiskinan, YB Ustazah Hajah Siti Ashah Haji Ghazali, terdapat banyak ruang-ruang yang boleh dipertingkatkan ke arah melahirkan MKK yang berkualiti, berdaya maju dan berdaya saing.

"Saya menyarankan secara umumnya ajar MKK mengamalkan sikap terbuka dalam setiap hal, memahami serta mendokong sepenuhnya hasrat dan dasar kerajaan.

"Selain itu, penyertaan golongan muda dan profesional perlu digalakkan, sebagai pelapis kepada golongan yang sedia ada," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perasmian Penutup Kursus Pemantapan Ketua Kampung Daerah Kulim sesi 2024-2026 bertempat di Dewan Bandaran Kulim, hari ini.

Tambah beliau, sebagaimana Pelan Pembangunan Kedah 2035 mengangkat Daerah Kulim sebagai daerah berteknologi tinggi, kerajaan akan melangkah ke bidang-bidang yang lebih mampu memberi nilai tambah yang lebih tinggi. 

Jelasnya seperti bagi sektor pertanian, kerajaan akan menekankan aktiviti yang mempunyai nilai tambah tinggi melalui pengunaan peralatan pertanian dan kemahiran berteknologi tinggi selari dengan kehendak pasaran semasa.

Menurut beliau lagi, perkara yang penting dalam pembangunan, bukan sahaja dilihat dari aspek fizikal, tetapi pembangunan pemikiran (minda) dan sikap adalah perkara utama untuk menentukan kejayaan. 

"Sebab itulah kalau kita lihat di negara-negara yang maju, jika kita perincikan sebab berjaya ialah kerana sikap dan budaya masyarakatnya yang cintakan ilmu pengetahuan, bersikap peka kepada perubahan, bersungguh-sungguh dan tekun dalam satu-satu pekerjaan yang dilakukan," katanya.

“Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua”

#UrusSetiaPeneranganDarulAman#UPDA

Tiada ulasan