Header Ads

test

PERKASAKAN PENGHAYATAN LIMA PRINSIP RUKUN NEGARA



ALOR SETAR -Penghayatan lima prinsip Rukun Negara perlu diperkasakan kerana menjadi penanda aras keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat. 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat Negeri Kedah, YB Dato’ Hajjah Halimaton Shaadiah Saad berkata demikian dalam Majlis Perasmian Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Negeri Kedah Tahun 2024 bertempat di Perkarangan Stadium Darul Aman, di sini, hari ini.

Katanya, sambutan Minggu Perpaduan merupakan program perdana di bawah agenda perpaduan nasional yang merangkumi tiga kluster utama iaitu Semarak Perpaduan, Semarak Kenegaraan dan Komuniti Rahmah. 

“Kita akan tertinggal jauh di belakang seandainya perpaduan itu gagal dijadikan tonggak keharmonian, kemajuan dan penyatuan rakyat pelbagai kaum, agama dan adat resam. 

“Ketika lafaz ikrar Rukun Negara diawal majlis tadi, kita sama-sama melafazkannya dengan penuh bersemangat kalimah demi kalimah, moga-moga ianya menjadi pedoman kepada semua untuk kasih dan cintakan negara dan negeri tempat tumpahnya darah kita ini,” ujar beliau.

Jelasnya, perpaduan seharusnya menjadi cara hidup dan amalan semua lapisan rakyat dan ianya adalah tanggungjawab bersama. 

Menurut beliau, peranan jentera-jentera perpaduan khususnya di negeri Kedah yang terdiri daripada Kawasan Rukun Tetangga serta cawangannya, Skim Rondaan Sukarela, Tabika, Taska Perpaduan, Skuad Uniti, Mediator Komuniti, Kelab Rukun Negara dan Sekretariat Rukun Negara harus diperkasakan. 

“Menguruskan perpaduan bukanlah suatu kerja mudah kerana bilangan keseluruhan penduduk Malaysia kini telah mencecah 34 juta orang. 

“Pejabat saya sentiasa terbuka untuk mendengar cadangan-cadangan ke arah merealisasikan aspirasi jentera-jentera perpaduan. Sekiranya ada kekuatan kewangan, saya akan berusaha membantu sedaya upaya,” katanya.

“Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua”

#UrusSetiaPeneranganDarulAman#UPDA

Tiada ulasan