Header Ads

test

EMPANGAN SABO TITI HAYUN DAN TUPAH SIAP SEPENUHNYA, AWAL DARI JANGKAAN



YAN - Projek Pembinaan Empangan Sabo di Titi Hayun Daerah Yan Dan Tupah Daerah Kuala Muda yang bernilai RM23.8 juta siap sepenuhnya, seminggu lebih awal dari tarikh jangkaan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar, YB Haji Mohamad Yusoff@Munir bin Haji Zakaria, projek ini masih dalam Tempoh Tanggungan Kecacatan (DLP) sehingga 5 Mei 2025 dengan kos senggaraan sebanyak RM20,000.00 sebulan 

“Tahniah kepada Pengarah JPS Kedah selaku Penguasa Projek dan kontraktor Daimacon kerana menyiapkan projek ini seminggu lebih awal. Lebih membanggakan projek ini adalah yang pertama di Malaysia,” ujarnya dalam Majlis Penyerahan Projek Siap Bagi Projek Cadangan Pembinaan Empangan Sabo di Titi Hayun Daerah Yan dan Tupah Daerah Kuala Muda bertempat D’Yan Chalet, Peranginan Titi Hayun di sini, hari ini.

Majlis Penyerahan Projek Siap Empangan Sabo itu disaksikan oleh YB Munir yang mewakili YAB Menteri Besar Kedah dan Timbalan  Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), YB Tuan Haji Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Tambah beliau, kerajaan negeri Kedah bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada kerajaan persekutuan kerana menyalurkan peruntukan segera bagi menyiapkan projek yang signifikan demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat negeri ini. Musibah kepala air di Yan yang berlaku pada 18 Ogos 2021 mengorbankan 6 nyawa, 1732 kediaman rosak dan pelbagai lagi kerosakan. Kerajaan ketika itu dengan sertamerta meluluskan peruntukan wang sehingga membolehkan kerja pembinaan empangan sabo dimulakan pada 6 Disember 2021 dan siap 28 Mei 2023.

Katanya dengan terlaksananya projek ini, risiko kejadian kepala air di kawasan yang terlibat dapat dikurangkan dan memberi keselesaan kepada penduduk setempat serta aktiviti penduduk setempat termasuk kegiatan ekonomi tidak lagi terjejas. Beliau turut mengingatkan supaya terus berdoa supaya terhindar daripada musibah

Jelasnya lagi, kini projek kedua (Fasa 2) empangan sabo di Sungai Kupang, Kedah sedang dalam peringkat reka bentuk dan dijangka siap hujung tahun hadapan.  

Empangan Sabo dibina untuk menahan puing-puing, sampah, pokok tumbang dan batu yang hanyut ketika kepala air atau air deras. Ia juga berfungsi untuk memperlahankan kelajuan air bagi mengelakkan musibah.

#UrusSetiaPeneranganDarulAman#UPDA

 

Tiada ulasan