Header Ads

test

KEDAH PERTAHAN DASAR PENUTUPAN PREMIS JUDI


KEDAH PERTAHAN DASAR PENUTUPAN PREMIS JUDI ALOR SETAR – Kerajaan Negeri Kedah tetap teguh dengan pendiriannya untuk menutup premis-premis perjudian di negeri itu dengan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Alor Setar. Menteri Besar, YAB Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor, mengesahkan bahawa Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri Kedah telah menghantar notis rayuan pada 24 Jun 2024 dan notis penangguhan pelaksanaan keputusan mahkamah pada 4 Julai 2024. Rayuan itu bertujuan untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan larangan pembaharuan lesen perjudian sehingga perkara berkenaan didengar oleh Mahkamah Rayuan. "Status terkini ialah berikutan kes Mahkamah Tinggi Alor Setar berhubung larangan pembaharuan lesen judi adalah seperti berikut. Notis rayuan telah difailkan oleh Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri Kedah pada 24 haribulan 6 yang lalu. Notis penangguhan pelaksanaan keputusan mahkamah juga telah difailkan pada 4 Julai 2024," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini. Menurut Sanusi, notis yang dikenali sebagai 'stay', meminta agar keputusan mahkamah ditangguhkan sehingga rayuan didengar oleh Mahkamah Rayuan. Beliau juga menegaskan bahawa negeri mempunyai hak untuk membuat dasar-dasar berkaitan, namun Mahkamah Tinggi telah mentafsirkan sebaliknya. "Kita mohon penangguhan pelaksanaan. Jika tidak mohon, pelaksanaan perlu dilakukan dan lesen perjudian perlu diberikan. Lesen tersebut bukan dikeluarkan oleh kerajaan negeri tetapi oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). "Jadi, ada hal-hal teknikal yang patut tidak saya sebut lagi sehingga dibawa ke Mahkamah Rayuan," jelas Sanusi. Dalam perkembangan lain, beliau turut mengakui terdapat operator syarikat perjudian yang memohon pampasan daripada Kerajaan Negeri atas pelaksanaan tidak memperbaharui lesen perjudian. "Tuntutan oleh operator syarikat perjudian terhadap jumlah kerugian akan ditentukan oleh mahkamah. Saya fikir jumlah kerugian mereka pun akan ditafsirkan oleh mahkamah, bukan saya. "Tengok mereka tuntut macam mana, itulah jumlah duit orang Kedah pergi kepada tauke judi. Saya tak mahu benda itu berlaku," tambah Sanusi. YAB Menteri Besar turut meluahkan rasa sedih terhadap keputusan yang dibuat oleh mahkamah dalam isu ini. "Sedih memang sedih. Dalam negara yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi, apabila dilaksanakan satu tuntutan paling besar dalam Islam boleh dipangkah begitu sahaja, itu yang menyedihkan," ujar beliau. #UrusSetiaPeneranganDarulAman #MBKedah -UPDA 7/10/2024, 9:21:47 PM 

Tiada ulasan