SEKTOR PERKHIDMATAN PACU EKONOMI KEDAH
ALOR SETAR: Pertumbuhan ekonomi Kedah mencatatkan peningkatan sebanyak 1.6 peratus pada tahun 2023, membawa nilai kepada RM51.8 bilion berbanding RM51 bilion pada tahun sebelumnya.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan itu disumbangkan oleh sektor perkhidmatan yang mencatatkan nilai sebanyak RM29.1 bilion.
Dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan, beliau berkata, sektor perkhidmatan menyumbang 56.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Kedah.
Pertumbuhan sektor berkenaan didorong oleh subsektor perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan yang masing-masing meningkat 5.3 peratus.
"Subsektor utiliti, pengangkutan, penyimpanan, dan ICT juga menyumbang kepada pertumbuhan ini dengan peningkatan sebanyak 5.0 peratus," katanya.
Sektor pembuatan mengalami kemerosotan sebanyak 3.2 peratus, mencatatkan nilai ditambah RM15.1 bilion, berbanding 8.1 peratus pada tahun sebelumnya.
Kemerosotan itu menurut beliau dipengaruhi oleh penurunan dalam produk elektrik, elektronik dan optikal sebanyak 4.6 peratus serta produk petroleum, kimia, getah dan plastik menurun sebanyak 3.1 peratus.
"Sektor pertanian turut menyusut 2.8 peratus, dengan nilai ditambah RM5.5 bilion.
"Penurunan ini dipengaruhi oleh subsektor perikanan serta tanaman getah dan padi," kata beliau.
Tambah Dr Uzir, subsektor ternakan mencatatkan pertumbuhan positif, mengimbangi penyusutan dalam sektor berkenaan.
Prestasi sektor pembinaan juga mencatatkan lonjakan ketara sebanyak 30.8 peratus, dengan nilai ditambah RM1.6 bilion.
Pertumbuhan itu didorong oleh aktiviti pertukangan khas dan pembinaan bangunan, yang masing-masing meningkat 43.7 peratus dan 23.6 peratus.
Sementara sektor perlombongan dan pengkuarian pula menyumbang 0.2 peratus kepada KDNK Kedah.
KDNK per kapita Kedah jelasnya turut mencatatkan peningkatan kepada RM26,353 naik sebanyak RM274 daripada RM26,079 pada tahun sebelumnya.
"Ini menunjukkan perkembangan ekonomi yang positif bagi negeri Kedah, meskipun terdapat cabaran dalam beberapa sektor utama.
"Sektor perkhidmatan terus menjadi pemacu utama ekonomi dan Kedah dijangka dapat meneruskan momentum pertumbuhannya dalam tahun-tahun mendatang," ujarnya.
“Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua”
#UrusSetiaPeneranganDarulAman#UPDA
Post a Comment