Header Ads

test

SIME DARBY KEMBANGKAN FASILITI PEMASANGAN PORSCHE DI KEDAH




KUALA LUMPUR – Sime Darby Berhad dan Porsche mengumumkan pengembangan fasiliti pemasangan Porsche di Inokom, Kulim. 

Fasiliti tersebut telah diperluaskan kepada 11,000 meter persegi bagi menampung kapasiti yang meningkat dan pengeluaran baharu bagi model kedua iaitu kereta hibrid plug-in (PHEV) Porsche Cayenne S E-Hybrid Coupé. 

Model baharu itu menjadi Porsche pertama yang dipasang dalam negara dan dieksport ke pasaran Thailand.

Kerjasama strategik antara Sime Darby dan Porsche lebih sedekad itu telah membuktikan kepakaran Sime Darby dalam pembangunan bakat tempatan dan penghasilan produk berkualiti tinggi. 

Pencapaian itu juga menandakan peningkatan kapasiti pengeluaran dan potensi pertumbuhan dalam industri automotif tempatan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Dato’ Jeffri Salim Davidson, pencapaian berkenaan begitu penting bersama rakan kongsi mereka, Porsche. 

"Kami bertekad untuk membuka peluang baharu di rantau ASEAN sambil mengukuhkan kebolehan bakat tempatan kami yang berkemahiran tinggi. 

"Kami komited untuk menawarkan produk berkualiti yang memenuhi jangkaan pelanggan Porsche dan berkembang melangkaui pasaran domestik ke Thailand," katanya. 

Fasiliti pemasangan Porsche di Kedah merupakan yang pertama di luar Eropah setelah berjaya dibuka pada tahun 2022.

Sejak itu, fasiliti berkenaan telah menghasilkan lebih daripada 2,000 unit kereta sport Porsche.

Dengan pengembangan tersebut, kini bersedia untuk memasang varian PHEV pertama dan mengeksportnya ke Thailand. 

Ini juga membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan pemindahan pengetahuan kepada tenaga kerja tempatan.

Ahli Lembaga Eksekutif untuk Pengeluaran, Porsche AG, Mr. Albrecht Reimold berkata Porsche mencipta sejarah apabila dapat membuka fasiliti pemasangan tempatan di Malaysia pada tahun 2022. 

"Kini, kami terus maju dengan meningkatkan kemudahan kami di Kulim, memastikan Cayenne pertama yang dieksport ke rantau ini memenuhi permintaan dan jangkaan pelanggan kami,” katanya. 

Porsche Cayenne S E-Hybrid yang dipasang secara tempatan itu akan dieksport ke Thailand, salah satu pasaran terbesar Porsche di ASEAN.

“Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua”

#UrusSetiaPeneranganDarulAman#UPDA

Tiada ulasan