Header Ads

test

TINGKATKAN KESEJAHTERAAN DAN KEHARMONIAN NEGERI KEDAH


ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah telah mengumumkan pelaksanaan Program Kedah Sejahtera sebagai inisiatif utama untuk mengurangkan kadar kemiskinan di negeri ini.
Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, dalam pengumuman beliau menyatakan bahawa program ini dirancang dengan merangkumi pelbagai langkah strategik untuk meningkatkan kesejahteraan golongan miskin dan B40.
"Program Kedah Sejahtera yang merangkumi bantuan seperti Bantuan Beras Sejahtera, sokongan khas kepada golongan sakit terlantar, dan bantuan peralatan perubatan bagi mereka yang memerlukan semasa rawatan di hospital, adalah satu langkah penting dalam memajukan kesejahteraan dan kebajikan rakyat.
“Inisiatif ini tidak hanya memberi manfaat kepada golongan miskin tetapi juga melampaui keperluan rakyat Kumpulan B40, termasuk Tabung Wanita Sejahtera dan Anakku Sejahtera," katanya.
Beliau berkata demikian sempena Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah-Darjah serta Bintang-Bintang Kebesaran sempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Negeri Kedah Darul Aman Ke-82 di Istana Anak Bukit hari ini.
Jelas Sanusi, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM18.8 juta bagi melaksanakan projek-projek pembangunan yang terdiri daripada Projek Pembangunan Pembaikan Rumah Keluarga Miskin dan Perumahan Awam, Projek Pembangunan Prasarana Desa dan Ameniti Sosial, menaik taraf prasarana KedahNet.
Di samping itu, inisiatif untuk membangunkan Kampung Tersusun dengan menyediakan tanah kepada golongan miskin juga ditekankan, dengan sokongan daripada Kerajaan Persekutuan untuk menangani kemiskinan.
"Selain itu, Kerajaan Baginda telah mengambil inisiatif untuk membangunkan Kampung Tersusun di seluruh Negeri Kedah dengan menyediakan lot tanah berkeluasan 4,000 kaki persegi kepada golongan miskin dan golongan yang memerlukan tanah bagi tujuan membina rumah kediaman.
“Sukacita patik ingin menyembah maklum bahawa hasrat membangunkan Kampung Tersusun ini turut mendapat perhatian khusus Kerajaan Persekutuan dalam agenda menoktahkan kemiskinan dan membantu golongan yang tidak berkemampuan," ujarnya
Dalam perkembangan yang sama, Sanusi menjelaskan kedudukan istimewa Baginda sebagai penaung dan pemelihara kesucian Agama Islam berteraskan manhaj Ahli Sunnah Wal Jama’ah mendapat penghargaan tinggi dari rakyat Islam di Negeri Kedah, dengan Kerajaan Negeri memfokuskan pada memperkukuhkan prasarana agama dan memperkasa Institusi Pengajian Islam.
“Justeru, bagi memastikan agenda syiar Islam terus menyinar dan ditegakkan, Kerajaan Baginda telah memberi tumpuan memperkemas prasarana menerusi program menaik taraf dan menyelenggara masjid serta surau dan juga memperkasa Institusi Pengajian Islam melibatkan UniSHAMS, IQDAR, Lembaga Maktab Mahmud, Sekolah Agama dan Tadika Islam yang berdaftar melalui peruntukan tahunan yang disediakan, jelas beliau.
Kata Sanusi lagi "Dalam konteks ini, Kerajaan Baginda bertekad untuk memelihara keharmonian dan kedamaian beragama, berdasarkan Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah dan Perlembagaan Persekutuan. Selain Islam sebagai agama negeri ini, agama-agama lain juga bebas untuk diamalkan.
"Sebagai sebuah negeri yang berbilang kaum dan agama, semangat perpaduan terus berkembang dengan menekankan nilai-nilai keharmonian dan kesepakatan yang tinggi di kalangan rakyat," katanya.

Tiada ulasan