Header Ads

test

THE GREATER KEDAH: Masa Depan Ekonomi dan Kesejahteraan Rakyat


ALOR SETAR - The Greater Kedah, yang diilhamkan melalui titah diraja, merupakan gagasan besar negeri ini yang merangkumi semua aspek berkepentingan untuk generasi kini dan masa depan.

Menurut Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, gagasan ini akan direalisasikan melalui penyediaan pelan induk The Greater Kedah, yang menekankan perancangan terancang dan berfokus.

"The Greater Kedah, sebagaimana yang telah diilhamkan Baginda melalui titah diraja, adalah sebuah gagasan besar negeri yang melibatkan seluruh aspek berkepentingan untuk generasi hari ini serta generasi akan datang, bergerak ke hadapan dan melangkaui batas masa. Aspek-aspek ini akan diberi perhatian secara khusus dan terancang melalui penyediaan sebuah blueprint The Greater Kedah.

"Usaha ini bermula dengan Pelan Pembangunan Kedah 2035 dan Pelan Strategik Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah yang julung kalinya diperkenalkan, menggariskan pelbagai inisiatif serta strategi dalam merencana pembangunan ekonomi Negeri Kedah dan kesejahteraan rakyat jelatanya,” kata beliau.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah-Darjah serta Bintang-Bintang Kebesaran Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Negeri Kedah Darul Aman Ke-82 di Istana Anak Bukit di sini, hari ini.

Dalam perkembangan yang sama, beliau memaklumkan bahawa prestasi ekonomi negeri Kedah pada tahun 2022 mencatatkan pertumbuhan KDNK sebanyak 7.2%, dan pada tahun 2023, pertumbuhan dijangka positif meskipun terdapat pelbagai cabaran.

"Prestasi positif ekonomi Negeri Kedah antara lainnya disumbang oleh ekosistem pelaburan yang menarik dan berdaya maju, menjadikan negeri ini terus kekal menjadi pilihan pelabur dalam dan luar negara, dengan merekodkan jumlah pelaburan pada tahun 2023 antara yang tertinggi dalam negara, berjumlah RM28.7 bilion yang menjana 9,761 peluang pekerjaan," katanya.

Dalam sektor pelancongan, Sanusi menjelaskan bawah Kerajaan Kedah giat mempromosikan industri pelancongan melalui Tahun Melawat Kedah 2025 dengan memperkenalkan Geotourism, termasuk mempromosikan Geopark Global UNESCO Langkawi dan Jerai Geopark, serta menjadikan Pulau Langkawi sebagai pulau pelancongan terbersih di dunia.

“Kempen ini telah dilaksanakan dengan membuat persiapan yang rapi bagi memastikan ketersediaan infrastruktur yang baik untuk dinikmati oleh para pelancong yang datang ke Negeri Kedah.

“Dalam usaha meningkatkan kemudahan dan pembaikan asas pelancongan, Kerajaan Negeri dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) telah menerima kelulusan peruntukan sebanyak RM1.8 juta untuk menambahbaik prasarana pelancongan sebagai persediaan untuk Tahun Melawat Kedah 2025 khasnya dan Tahun Melawat Malaysia 2026 amnya,” katanya.

Tiada ulasan