Header Ads

test

520 MAHASISWA KEDAH SANTUNI MASYARAKAT DALAM PROGRAM BAKTI SISWA


ALOR SETAR - Seramai 520 mahasiswa dari pelbagai institusi pengajian tinggi di Kedah menyertai Program Bakti Siswa yang diadakan di 12 daerah seluruh negeri.
Program yang dianjurkan oleh Pejabat EXCO Pengajian Tinggi Negeri Kedah itu bertujuan untuk menyantuni masyarakat tempatan dan melibatkan 13 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Kedah.
Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam ucapannya menyatakan sokongan penuh terhadap inisiatif berkenaan.
Beliau menegaskan bahawa program sebegitu memberikan manfaat besar kepada mahasiswa dan masyarakat setempat.
“Saya menzahirkan sokongan sepenuhnya kerana melihat pengisian program ini yang sangat memberi makna kepada adik-adik mahasiswa serta masyarakat di kampung,” ujarnya dalam ucapan perasmian Program Bakti Siswa Perdana Peringkat Negeri Kedah Bagi Tahun 2024 di Dewan Seri Mentaloon, hari ini.
Jelasnya, program ini mempunyai tujuh aktiviti utama, antaranya penyediaan Dokumen Kampung Sejahtera, Program Pembangunan Pendidikan, Program Pembangunan Ekonomi, Gotong-Royong Perdana, Program Bakti Asnaf, Karnival Kampung Sejahtera serta Penghayatan Agama.
Tambah beliau, mahasiswa yang terlibat pada program itu merupakan anak-anak yang lahir di Kedah atau menetap di Kedah.
menurutnya lagi, negeri Kedah memerlukan mahasiswa untuk sama-sama menjadi penyumbang kepada kejayaan mengecapi The Greater Kedah.
“Saya ingin mengajak adik-adik sekalian, tanamkan azam untuk menjadi sebahagian daripada penyumbang kepada kebangkitan negeri ini, agar kita dapat menjadi sebuah negeri hebat kembali, sepertimana kita pernah menjadi empayar terhebat suatu masa dahulu.
“Banyak pemimpin negara yang telah lahir bermula daripada penglibatan kepimpinan sejak di universiti lagi.
“Oleh itu, adik-adik harus melibatkan diri dengan persatuan, program, aktiviti mahupun usrah di universiti sebagai permulaan kepada langkah menjadi seorang pemimpin masyarakat negeri dan negara suatu hari nanti,” kata beliau.
Dalam majlis yang sama, Majlis Ikatan Mahasiswa Darul Aman (MINDA) turut dilancarkan.
MINDA yang ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri Kedah bertujuan untuk mengumpulkan mahasiswa anak Kedah yang sedang belajar di dalam dan luar negara.

Tiada ulasan