Header Ads

test

DUN KEDAH LAHIRKAN KECEWA TERHADAP KPM


ALOR SETAR - Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini melahirkan rasa kecewa terhadap Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kedah berikutan campur tangan politik dalam sektor pendidikan di negeri itu.
Menteri Besar Kedah, YAB Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap tindakan yang dianggap menyalahgunakan kuasa untuk agenda politik kepartian.
Tegas beliau, pendidikan sepatutnya bebas daripada pengaruh politik dan campur tangan sedemikian hanya merugikan pelajar.
"Dewan Undangan Negeri Kedah yang bersidang 26 Ogos ini melahirkan rasa kecewa dengan tindakan Kementerian Pendidikan, Menteri Pendidikan dan Pengarah Jabatan Pendidikan Kedah yang melaksanakan agenda politik kepartian Kerajaan Persekutuan pada hari ini.
"Ini bukanlah masa untuk bermain politik dalam pendidikan, terutama sekali ketika kita sedang berusaha meningkatkan kualiti pendidikan di Kedah," katanya.
Beliau berkata demikan ketika ucapan Penangguhan Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Sanusi turut menyeru semua pihak termasuk KPM supaya bersikap profesional dan mengutamakan kepentingan pelajar serta pembangunan negeri.
"Dalam usaha kita untuk membangunkan Kedah sebagai negeri yang lebih maju, kita perlu bersikap terbuka dan bekerjasama demi kebaikan bersama tanpa mengira perbezaan politik.
"Pendidikan adalah asas kepada masa depan negeri ini, dan kita tidak boleh membiarkan ia dipolitikkan," tambahnya lagi.
DUN Kedah juga menggesa Perdana Menteri Malaysia mengambil serius isu terbabit dan memastikan sektor pendidikan bebas daripada pengaruh politik yang boleh merosakkan masa depan pelajar.

Tiada ulasan