KERAJAAN NEGERI SERU PIMPINAN DAN RAKYAT SAHUT KEMPEN KIBAR JALUR GEMILANG
YAN – Kerajaan negeri menyeru semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Parlimen dan semua masyarakat untuk menyahut seruan kempen kibar jalur gemilang.
Pengerusi Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan, YB Dato’ Ustaz Mohd Azam Abd Samat berkata, seruan ini adalah kesinambungan daripada Kempen Kibar Jalur Gemilang dan Kembara Jiwa Merdeka yang dilancarkan oleh Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor pada 1 Ogos, baru-baru ini.
“Kita harapkan kempen ini dapat dilaksanakan di semua peringkat masyarakat, bukan sahaja di premis-premis kerajaan.
“Kita harap dengan inisiatif yang kita laksanakan pada hari ini dapat menyemarakkan semangat kemerdekaan dan kibaran jalur gemilang dapat dilihat di semua tempat di negeri Kedah,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyerahan Bendera Jalur Gemilang di Dewan Tuan Guru Othman Al-Yunusi, Sungai Limau, di sini, hari ini.
Beliau yang juga ADUN Sungai Limau mengajak semua rakyat untuk turut serta di dalam Konvoi Jelajah Merdeka yang akan diadakan di setiap daerah.
“Setiap daerah kena buat jelajah ni sebagai salah satu program kempen kibar Jalur Gemilang. Macam Daerah Yan Insya Allah akan dibuat pada 22 Ogos nanti. Jadi saya harap wakil rakyat dan semua pegawai DUN dan penyelaras dapat menyertai kempen di peringkat daerah nanti.
“Di peringkat negeri pula pada 29 Ogos akan diadakan bacaan yasin dan doa sempena Hari Kebangsaan kali ke 67 yang akan diadakan di Masjid Abdul Rahman Kuala Kedah.
“Pada 30 Ogos Sambutan Ambang Merdeka di Taman Jubli Emas, Alor Setar dan pada 31 Ogos akan diadakan perbarisan dan perarakan sempena Hari Kebangsaan di dataran bandar, Masjid Zahir Alor Setar,” jelas beliau lagi.
“Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua”
#UrusSetiaPeneranganDarulAman#UPDA
Post a Comment