Header Ads

test

MAHKAMAH SYARIAH DILETAKKAN DALAM UNDANG-UNDANG TUBUH KERAJAAN NEGERI KEDAH


ALOR SETAR - Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman Ke-15 meluluskan Rang Undang- Undang Tubuh Kerajaan Kedah (Pindaan) 2024 untuk meletakkan mahkamah syariah dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah.
Menurut Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, bagi melaksanakan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah untuk menambahbaik kedudukan mahkamah syariah, kerajaan negeri Kedah berpandangan penubuhan mahkamah syariah wajar diletakkan dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah.
Tambahnya, dengan perletakkan penubuhan mahkamah syariah dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah akan mengiktiraf mahkamah syariah sebagai sebahagian struktur asas kerajaan negeri Kedah.
“Pada masa ini struktur mahkamah syariah mempunyai tiga peringkat iaitu mahkamah rayuan syariah, mahkamah tinggi syariah dan mahkamah rendah syariah,” ujarnya semasa membentangkan RUU enakmen untuk Meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah Bacaan Kali Kedua dalam Sidang DUN Negeri Kedah Ke-15.
Jelas beliau, demi menjamin proses keadilan dijalankan secara saksama, satu lagi lapisan rayuan bagi kes yang bermula di mahkamah tinggi syariah perlu diwujudkan dalam struktur mahkamah syariah di Kedah.
Katanya, bagi menambahbaik struktur hieraki mahkamah syariah, perlu diwujudkan empat peringkat mahkamah iaitu mahkamah utama syariah, mahkamah rayuan syariah, mahkamah tinggi syariah dan mahkamah rendah syariah.
Dengan struktur baharu ini, kes yang dimulai di mahkamah tinggi syariah boleh dirayu ke mahkamah rayuan syariah dan boleh dirayu lagi ke mahkamah utama syariah.
“RUU ini telah diperkenankan oleh KDYMM Sultan Kedah dan mempunyai dua fasal.
“Fasal satu mengandungi tajuk ringkas dan permulaan kuatkuasa enakmen yang dicadangkan ini.
“Fasal dua bertujuan memasukkan perkara baharu 63(a), 63(b), 63 (c ) dan 63(d) iaitu perkara 63(a) bertujuan mengadakan peruntukan penubuhan mahkamah utama syariah, mahkamah rayuan syariah, mahkamah tinggi syariah dan mahkamah rendah syariah.
“Perkara 63(b) bertujuan mengadakan peruntukan keanggotaan mahkamah-mahkamah syariah yang ditubuhkan.
"Perkara 63(c) dan 63(d) bertujuan mengadakan peruntukan pelantikan hakim mahkamah-mahkamah syariah oleh raja pemerintah mengikut kuasa dan tatacara dalam undang-undang negeri serta sumpah jawatan ketua hakim syarie,” ujar beliau.

Tiada ulasan