Header Ads

test

KEDAH SASAR PELABURAN SEKTOR TEKNOLOGI DAN PERINDUSTRIAN


KEDAH SASAR PELABURAN SEKTOR TEKNOLOGI DAN PERINDUSTRIAN ALOR SETAR - Kedah mengorak langkah merancakkan pembangunan ekonomi melalui inisiatif strategik dengan mensasarkan pelaburan global, khususnya dalam sektor teknologi dan perindustrian. Pengerusi Jawatankuasa Industri & Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi & Inovasi Negeri Kedah, YB Dr Haim Hilman Abdullah berkata Zon Pembangunan Ekonomi Sempadan Khas (BKH SBEZ) Bukit Kayu Hitam dianggap sebagai pintu masuk utama pelaburan asing (FDI) ke pasaran Indochina dan Asia Selatan termasuk negara seperti Thailand, Vietnam, India dan Bangladesh. BKH SBEZ yang meliputi kawasan seluas 11,621 ekar, dibahagikan kepada dua komponen utama, iaitu Kedah Science & Technology Park (KSTP) dan DELAPAN SBEZ. KSTP dikendalikan oleh Perbadanan Kemajuan Wilayah Kedah (PKNK) dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) merupakan zon industri berteknologi tinggi yang direka untuk menarik pelaburan dalam bidang seperti bioteknologi, tenaga boleh diperbaharui dan peralatan perubatan. "Fasa pertama KSTP yang meliputi 413.66 ekar kini bersedia untuk menerima pelabur dengan infrastruktur lengkap," katanya. Beliau berkata demikian ketika sesi pertanyaan mulut di Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah Mesyuarat Kedua Penggal Kedua di Wisma Darul Aman di sini, hari ini. Dalam pada itu, DELAPAN SBEZ yang dibangunkan oleh Northern Gateway Sdn. Bhd. (NGX turut memainkan peranan penting dalam menarik pelaburan bernilai tinggi. Pembangunan fasa pertama DELAPAN SBEZ yang melibatkan 450 ekar menurut Dr Haim sedang giat dijalankan dan dijangka menawarkan perkhidmatan logistik rentas sempadan pada akhir tahun 2024. "Kedah berada pada landasan yang tepat untuk menjadi hab pelaburan global, dengan kemudahan infrastruktur yang strategik dan akses pasaran antarabangsa yang luas. "Usaha kerajaan negeri untuk meningkatkan proses pembandaran dan menarik FDI dijangka akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta memperkasakan tenaga kerja tempatan," ujar beliau. Jelas beliau, Unit Pembangunan Modal Insan di Invest Kedah giat melatih dan memadankan tenaga kerja tempatan dengan keperluan industri melalui program seperti Kedah Future Leaders (KFL) dan Kedah Tech & Non-Tech Apprenticeship Programs. Tambah Dr Haim lagi, Kedah mampu bangkit dan menjadi kuasa baharu yang memimpin negara serta rantau. "Jika kita kekal dengan Culture of Comfort (Budaya Selesa), kita tidak akan bergerak ke hadapan. Tetapi dengan Culture of Success (Budaya Kejayaan), Kedah akan muncul sebagai negeri yang berjaya dan memimpin negara dan rantau," ujar beliau. #thegreaterkedah #experiencekedah #SidangDUNKedah -UPDA 8/25/2024, 6:10:24 PM 

Tiada ulasan