KUMPULAN PKNK SERAH ZAKAT PERNIAGAAN HAMPIR RM3 JUTA
ALOR SETAR – Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) berjaya mencatatkan peningkatan bayaran zakat hampir RM 3 juta untuk tahun 2023 berbanding RM2.077 juta bagi tahun 2022.
Menteri Besar Kedah, YAB Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata penyerahan zakat itu melibatkan 13 buah anak syarikat PKNK yang menunjukkan prestasi perniagaan yang memberangsangkan.
"Saya difahamkan jumlah terkumpul kutipan zakat perniagaan Syarikat Kumpulan PKNK bagi tahun 2023 sebanyak RM2,995,965.98 berbanding tahun 2022 sebanyak RM2,077,473.08 melibatkan 13 buah Syarikat Kumpulan PKNK.
" Bayaran zakat ini membuktikan bahawa Kumpulan PKNK terus komited dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap agama dan masyarakat, sekaligus menunjukkan prestasi perniagaan yang baik," kata beliau.
Sehingga kini, lebih RM1.2 juta telah diagihkan kepada golongan asnaf melalui kerjasama dengan Pusat Khidmat Wakil Rakyat di seluruh Kedah.
“Saya menyarankan kepada Kumpulan PKNK untuk meningkatkan sumbangan Corporate Social Responsibility (CSR) kepada tiga perkara utama yang telah ditetapkan.
"Saranan sumbangan yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri adalah melalui bidang Pendidikan melalui Tabung Tengku Mahmud, bidang Latihan Kemahiran melalui Program Skills Sejahtera dan bidang kebajikan masyarakat khas untuk pesakit terlantar,” jelas beliau pada Majlis Serahan Zakat Perniagaan Kumpulan PKNK bagi Tahun Kewangan 2023 di Ukir Mall, Alor Setar.
Sanusi berkata, PKNK telah berjaya memupuk kesemua anak syarikat dan kakitangan PKNK untuk membayar zakat sekaligus menjadi ikutan kepada agensi serta jabatan-jabatan lain di negeri Kedah.
"Semoga usaha berterusan ini dapat memberi kesejahteraan bersama kepada rakyat serta memperoleh keberkatan di sisi Allah SWT,” kata beliau.
Post a Comment