NCIA ANJUR PROGRAM TINGKAT TARAF HIDUP RAKYAT
KUALA NERANG – ADUN Kuala Nerang, YB Haji Mohamad Yusoff@Munir Haji Zakaria memuji tindakan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dalam memperkasa pembangunan modan insan di negeri Kedah.
Katanya, pemerkasaan itu dilaksanakan dengan inisiatif program empowerNCER yang bertujuan meningkatkan taraf hidup rakyat, khususnya golongan B40.
“Program empowerNCER bukan sahaja meningkatkan kemahiran dan pendapatan peserta, tetapi juga telah memberi keyakinan kepada mereka untuk membuka perniagaan sendiri dan menjadi usahawan yang berdaya saing,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Konvokesyen Program EmpowerNCER Daerah Padang Terap, Pokok Sena dan Pendang yang diadakan di Dewan Konvensyen Universiti AlBukhary, Alor Setar, semalam.
Jelas beliau, majlis ini diadakan bagi meraikan 449 peserta yang telah menamatkan kursus kemahiran dan keusahawanan.
“Majlis ini bukan sekadar penghargaan, tetapi juga motivasi kepada peserta untuk merebut peluang keemasan yang diberikan untuk membina masa depan yang lebih baik.
“Saya berharap program ini akan terus memberi manfaat berterusan kepada masyarakat dan berperanan sebagai pemangkin dalam usaha reformasi sosioekonomi negara,” tambah Haji Yusoff lagi.
Program empowerNCER menawarkan pelbagai latihan kemahiran dalam bidang seperti pemantapan usahawan, solekan artistik, pembuatan produk hiliran, pendawaian elektrik, bakeri dan barista, seni kulinari, dandanan rambut, jahitan & rekabentuk fesyen serta penyenggaraan motosikal.
Turut hadir, Pegawai Daerah Padang Terap, Azmin Zainol Abidin; Penolong Pegawai Daerah (Pengurusan) Daerah Pokok Sena, Muhammad Azim Zainal; Pengurus Pejabat Negeri Kedah Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Zairemy Mohd Yunus; Pengarah Projek EmpowerNCER Negeri Kedah, Mohammad Nurasraf Nordin; UMPSA Advanced dan wakil-wakil agensi di Negeri Kedah.
#TheGreaterKedah#ExperienceKedah#UrusSetiaPeneranganDarulAman#UPDA
Post a Comment