Header Ads

test

PESTA BUKU KEDAH PUPUK MASYARAKAT CELIK ILMU


PESTA BUKU KEDAH PUPUK MASYARAKAT CELIK ILMU SUNGAI PETANI – Ekosistem digital yang lengkap perlu diwujudkan bagi memastikan budaya membaca terus berkembang di setiap peringkat umur. Menteri Besar Kedah, YAB Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, membaca adalah penghubung utama dalam memastikan kelangsungan budaya ilmu dan peradaban bangsa dalam menghadapi cabaran maklumat di peringkat lokal, nasional dan global. "Saya melihat nilai technology-based perlu bersifat wajib dan mesti ada dalam membentuk budaya membaca," jelas beliau. Sanusi berkata, hal ini sejajar dengan penggunaan teknologi yang kini menjadi tumpuan anak-anak muda dalam menjalankan tugasan di sekolah atau universiti. Tambahnya, penganjuran pesta buku bukan semata-mata menjadi acara literasi, malah diharapkan menjadi tarikan pelancongan yang dapat menarik minat pengunjung dari dalam dan luar negara. "Pada tahun hadapan, saya ingin melihat pesta buku ini dianjurkan dengan lebih besar dan meriah bersempena Tahun Melawat Kedah 2025," ujar beliau sewaktu Majlis Perasmian Pesta Buku Kedah 2024 di Village Mall, Sungai Petani. Jelasnya lagi, penetapan ke arah 'world class knowledge' perlu dilaksanakan bagi memastikan pembacaan buku yang berkualiti, karya-karya agung serta forum perbahasan mampu melahirkan masyarakat berfikiran kritis. Sanusi berharap rakyat Negeri Kedah dapat memupuk tabiat membaca sejajar dengan hasrat kerajaan yang mahukan rakyatnya berilmu pengetahuan dalam mengharungi dunia globalisasi dengan lebih mantap. "Marilah kita alihkan ketagihan kepada gajet dan perkara yang tidak bermanfaat menjadi penagih buku, dengan demikian kualiti pemikiran, kualiti kepimpinan dan kualiti diri kita akan berubah menjadi lebih baik dari semasa ke semasa," kata beliau. #UrusSetiaPeneranganDarulAman #MBKedah #thegreaterkedah -UPDA 9/26/2024, 2:02:28 PM 

Tiada ulasan