PENJELASAN ISU KUIL: NARATIF SALAH DISEBAR DI MEDIA SOSIAL
Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Tuduhan mengaitkan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor memberi lapan tapak tanah rizab kerajaan sebagai ganti kepada dua kuil yang dirobohkan disifatkan sebagai naratif tersasar dan tidak berasaskan fakta.
Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Kedah, Muhamad Mat Yakim berkata, kelulusan Sijil Rizab atau Reserve Certificate (RC) bagi lapan kuil Hindu di negeri ini langsung tidak mempunyai kaitan dengan perobohan dua kuil yang dibina tanpa kelulusan pada tahun 2020.
Menurutnya, dua kuil terbabit dirobohkan masing-masing pada 9 Julai 2020 di Jalan Stesen, Alor Setar dan 1 Disember 2020 di Taman Bersatu, Kuala Kedah, di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).
“Kuil di Jalan Stesen dirobohkan bagi memberi laluan kepada projek pembesaran jalan untuk mengatasi kesesakan trafik berhampiran stesen kereta api, manakala kuil di Kuala Kedah pula berada di atas tanah milik kerajaan negeri.
“Bukan kuil sahaja, sebuah gelanggang silat dan beberapa struktur lain turut dirobohkan bagi tujuan pembinaan kemudahan awam,” katanya, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan seorang peguam di media sosial yang menuduh Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor memberi lapan lot tanah rizab kerajaan sebagai ‘gantian’ kepada dua kuil yang dirobohkan.
Menurut Muhamad, apa yang berlaku sebenarnya bercanggah dengan naratif yang dibawa oleh individu berkenaan.
“Beliau sepatutnya menyemak fakta sebelum melontarkan pandangan terbuka secara cuai dan tidak beretika yang boleh mengelirukan orang awam.
“Tidak masuk akal roboh dua kuil kecil di tepi jalan, diganti dengan lapan lot tanah. RC yang diluluskan bukan untuk menggantikan tapak dua kuil yang dirobohkan itu,” tegasnya.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri tidak pernah memberikan tanah miliknya kepada mana-mana pihak untuk membina kuil atau ‘memutihkan’ kuil haram.
“Kebanyakan kuil yang mohon RC terletak di kawasan ladang getah dan kelapa sawit yang suatu ketika dahulu dimiliki syarikat British. Pekerja dari India yang dibawa masuk ketika itu diberikan kebenaran mendirikan kuil dalam kawasan ladang untuk kegunaan sendiri.
“Setelah milikan ladang bertukar tangan, ada yang bertukar menjadi kawasan perumahan dan sebagainya, kuil-kuil itu masih kekal di situ, dan kebanyakan beroperasi tanpa kebenaran.
“Pengurusan kuil kemudiannya mengemukakan permohonan bagi mendapatkan kebenaran pihak berkuasa untuk terus menjalankan aktiviti kuil,” jelasnya.
Menurut Muhamad, selain kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), kuil juga perlu mendapat Sijil Rizab daripada Kerajaan Negeri.
“Untuk proses mendapatkan RC, pemilik tanah, lazimnya pemilik ladang atau pemaju perlu menyerahkan hak milik tanah itu kepada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) bagi tujuan khusus sebagai tapak kuil,” katanya.
Beliau memaklumkan, permohonan itu akan melalui penelitian terperinci termasuk jarak dengan kawasan kediaman penganut agama lain, rumah ibadat lain seperti masjid dan surau, serta memastikan ia tidak melanggar rizab awam seperti jalan dan sungai.
“Perkara paling sensitif yang boleh menimbulkan sentimen keagamaan turut diberikan perhatian.
“Selepas melalui proses penelitian pelbagai peringkat, permohonan itu dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) untuk pertimbangan.
“Jika didapati tiada sebarang masalah, barulah permohonan diluluskan dan pihak kuil diberikan Sijil Rizab. Ketika itu, hak milik tanah adalah di bawah SUK (Kerajaan Negeri) manakala pihak pengurusan kuil selaku pengelola,” jelasnya.
Tegas beliau, konsep itu perlu difahami dengan jelas dan tidak sewenang-wenangnya tanah kerajaan bertukar hak milik.
“Tanah itu asalnya bukan milik kerajaan negeri. Ia diserahkan kepada SUK untuk satu tujuan khusus (tapak kuil). Sama seperti konsep wakaf bagi pembinaan masjid, pewakaf akan menyerahkan hak milik tanah kepada Majlis Agama Islam untuk diwakafkan. Dalam konteks kuil, SUK bagi pihak Kerajaan Negeri jadi pemilik tanah yang baru,” jelasnya.
Muhamad menyifatkan tindakan mengaitkan Menteri Besar Kedah dalam setiap isu kuil sebagai tidak berasas, malah sebelum ini beliau turut dikaitkan dengan kontroversi kuil di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur yang melibatkan tanah milik Jakel Trading.
“Janganlah semua isu dikaitkan dengan Kedah, seolah-olah negeri ini satu-satunya yang ada di Malaysia,” katanya.

Post a Comment