SG4: MEMACU EKONOMI BERTERASKAN WAQAF
SG4: MEMACU EKONOMI BERTERASKAN WAQAF BANGI - Empat negeri yang bergabung dalam 'State Goverment 4 (SG4) iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis dapat memperkukuh ekonomi melalui sistem waqaf. Pendekatan itu dijangka mampu mengubah landskap ekonomi di negeri-negeri tersebut dengan memperkenalkan konsep pembangunan berasaskan Islam yang lebih mampan dan inklusif. Menurut pakar ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai, memanfaatkan waqaf sebagai salah satu instrumen utama dalam pengurusan harta. Langkah itu katanya tidak hanya bertujuan untuk menjana pendapatan tetapi juga memastikan kebajikan rakyat terpelihara dengan hasil yang diagihkan semula kepada masyarakat. Dr Banjoyai Bardai berkata ekonomi yang berlandaskan waqaf mampu menyediakan alternatif yang lebih stabil dan beretika. "Waqaf adalah tiang seri dalam ekonomi Islam yang menawarkan penyelesaian menyeluruh kepada cabaran ekonomi semasa. "Sistem ini memastikan harta yang diwaqafkan terus memberi manfaat kepada masyarakat tanpa mengorbankan nilai dan prinsip Islam," kata beliau ketika membentangkan Hala tuju Ekonomi SG4 dalam Sidang Kemuncak SG4 di Hotel Tenera, Bangi hari ini. Tambahnya, SG4 juga berpotensi besar dalam memperkukuh sektor pelaburan melalui pembangunan taman teknologi dan pusat industri. Ianya dijangka menarik masuk lebih banyak pelaburan asing. "Kedah sebagai contoh, telah mula menerima limpahan pelaburan dalam sektor semikonduktor dan teknologi tinggi, yang menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi utara Semenanjung," katanya. Kata beliau lagi, pelaksanaan ekonomi berteraskan waqaf dijangka mampu mencapai pertumbuhan yang lebih inklusif dan lestari, sekaligus meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan rakyat. " Ekonomi waqaf ini bukan hanya tentang keuntungan material tetapi juga tentang kebahagiaan hakiki dan kesejahteraan ummah," jelas Dr Banjoyai. #UrusSetiaPeneranganDarulAman #UPDA #SG4 #experienceKedah #thegreaterkedah -UPDA 9/2/2024, 3:17:47 PM
Post a Comment