Header Ads

test

TERMINAL BAS SHAHAB PERDANA AKAN DINAIKTARAF



ALOR SETAR - Terminal Bas Shahab Perdana bakal dinaiktaraf dengan termeterainya Memorandum Persefahaman antara Majlis Bandaraya Alor Setar dan Jasa Pedoman Sdn Bhd.


Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan, YB Mejar Mansor Zakaria, pengangkutan adalah nadi kepada masyarakat bandar dan luar bandar untuk berinteraksi dalam aktiviti harian. 


Jelas beliau, projek naiktaraf ini adalah untuk menambahbaik terminal bas sedia ada bagi menepati tahap dan mutu setara dengan terminal bas yang lain seperti Terminal Bas di Bandar Tasik Selatan dan Terminal Bas Melaka Sentral. 


“Saya berharap dengan penambahbaikan terminal bas ini merupakan langkah yang tepat ke arah mewujudkan sistem pengangkutan awam yang terancang dan teratur bersempena dengan Tahun Melawat Kedah 2025.


“Dari segi lokasi terminal bas ini menjadi faktor penarik kepada pertumbuhan ekonomi yang terletak di kawasan sekitarnya kerana terminal yang terletak di dalam kawasan pusat bandar ini mudah diakses oleh warga Alor Setar,” ujar beliau.


Beliau berkata demikian mewakili Menteri Besar Kedah berucap dalam Majlis Menandatangani Perjanjian Menaiktaraf dan Mengurus Terminal Bas Shahab Perdana bertempat di Megaview Banquet Hall, Menara Alor Setar di sini, hari ini.


Katanya lagi, kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian dan mengadakan libat urus dengan rakyat supaya sebarang program atau projek yang dilaksanakan dapat memberi manfaat kepada mereka. 


Tambah beliau, sistem pengangkutan yang cekap dapat memastikan semua lapisan masyarakat mendapat akses bagi memperluas aktiviti mencari pekerjaan, beriadah, mendapat keperluan harian dan merapatkan jalinan perhubungan.


Beliau menyeru kepada semua pengusaha bas dan teksi agar memanfaatkan kemudahan yang disediakan ini dengan memberi perkhidmatan terbaik kepada pengguna.


"Fasa menaiktaraf terminal yang menelan kos sebanyak RM12 juta ini akan bermula pada Oktober 2024 dengan penambahbaikan sistem tiket bas.


"Fasa kedua akan bermula pada April 2025 untuk naiktaraf infrastruktur terminal," katanya.


#UrusSetiaPeneranganDarulAman#UPDA

Tiada ulasan