Header Ads

test

ISLAM SEBAGAI DASAR KEPADA KUASA POLITIK PEMIMPIN


ISLAM SEBAGAI DASAR KEPADA KUASA POLITIK PEMIMPIN ALOR SETAR – Islam kini masih dipandang negatif dan sering dikaitkan dengan keganasan serta ancaman. Menteri Besar Kedah, YAB Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kepimpinan Islam telah hilang dari masyarakat manusia di era Revolusi Industri 4.0 ini, dan apa yang tinggal hanyalah bahan-bahan cetak atau media-media yang memperkatakan tentang kepimpinan Islam. "Kesengsaraan ketiadaan kepimpinan Islam bukan sahaja dirasai oleh umat Islam tetapi juga umat bukan Islam bahkan oleh seluruh umat di dunia," kata beliau. Tambahnya, kepimpinan yang tidak berlandaskan kepada syariat Allah SWT akan membawa kerosakan dan bencana yang besar kepada kehidupan manusia, lantaran tidak takut kepada kekuasaan pencipta alam malah orang-orang yang berkuasa membuat apa sahaja yang mereka suka. "Apabila ahli anggota masyarakat mematuhi dan melaksanakan segala prinsip dan dasar yang ditetapkan oleh pemerintah, maka akan terwujudlah satu negara yang stabil, maju dan berjaya. "Dan apabila pemerintah itu menentukan prinsip dan dasar yang dikehendaki oleh Islam, maka pemerintahan tersebut dinamakan sebagai pemerintahan atau kerajaan Islam," kata Sanusi sewaktu program bual bicara 'Membina Kecemerlangan Kedah Berpaksi Kepada Kepimpinan Era Kegemilangan Islam' di Dewan Seri Mentaloon, Alor Setar. Katanya, kebanyakan negara Islam masih bergantung kepada bantuan daripada negara Barat dalam pelbagai aspek seperti ekonomi, teknologi dan kepakaran. Sanusi berkata, dunia umumnya membisu atau tidak bersungguh-sungguh bila berhadapan dengan pencabulan dan penafian hak yang berlaku di negara-negara umat Islam. "Kini bukan masanya lagi untuk kita menyebut seribu satu alasan, masa sekarang adalah masa melaksanakan tanggungjawab ini semaksima mungkin. "Tugas kita dalam menghadapi cabaran adalah menyediakan sebab-sebab untuk mendapat pertolongan Allah SWT kerana bukan sunnah Allah SWT, sesuatu kejayaan itu diperolehi dengan hanya berdiam diri atau membuat hal sendiri tanpa mempedulikan orang lain, kejayaan akan diperolehi dengan pembinaan diri dan juga kemajuan masyarakat dan pertolongan Allah SWT," jelas beliau. #UrusSetiaPeneranganDarulAman #thegreaterkedah #mbkedah -UPDA 10/28/2024, 9:00:34 AM 

Tiada ulasan