JKPD DAN PRS AADK FRONTLINER BASMI DADAH
JKPD DAN PRS AADK FRONTLINER BASMI DADAH GUAR CHEMPEDAK - Jawatankuasa Pemulihan Dadah (JKPD) & Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) AADK Negeri Kedah merupakan frontliner dan penggerak utama dalam merealisasikan matlamat kerajaan membasmi dadah 'Musuh No.1 Negara'. Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan, YB Mejar Mansor Zakaria peranan agensi ini adalah untuk membentuk satu persekitaran komuniti terapeutik yang menyokong kepulihan klien dalam komuniti. "Buat para sukarelawan, ingatlah tugas kita masih banyak dan jalan yang akan ditempuh masih panjang. Kuatkan tekad dan semangat dan teruskan perjuangan. "Kesejahteraan komuniti adalah tanggungjawab kita semua, bukan hanya AADK dan agensi penguatkuasaan yang lain," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Malam Apresiasi Jawatankuasa Pemulihan Dadah (JKPD) Dan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) Negeri Kedah Tahun 2024 bertempat di Grand Ball Room Jerai Hill, semalam. Katanya, objektif pelaksanaan program ini adalah untuk mengeratkan kerjasama antara JKPD dan PRS AADK serta membina, memupuk semangat berketerampilan dan muhibah antara satu sama lain. Tambah beliau, JKPD dan PRS ini adalah satu aset dalam membentuk kesejahteraan komuniti sekaligus menjadi 'recovery capital' dalam memastikan kepulihan klien dalam komuniti. Jelasnya lagi, kerajaan negeri Kedah di bawah Pelan Kedah 2035 'Sejahtera & Berdaya Huni' telah menggariskan Kompetensi Tadbir Urus bagi membentuk budaya kelas pertama dalam kalangan penjawat awam. "Salah satunya adalah untuk memperluaskan perancangan di peringkat Jabatan dan Daerah serta meningkatkan capaian perkhidmatan awam secara digital dan mudah, menyeluruh dan seragam," ujar beliau. #UPDA #UrusSetiaPeneranganDarulAman -UPDA 10/10/2024, 9:00:23 AM
Post a Comment