Header Ads

test

KENYATAAN AKHBAR


KENYATAAN AKHBAR PENGARAH JABATAN HAL EHWAL AGAMA ISLAM NEGERI KEDAH DARUL AMAN 1. Berikutan sebuah video tular di media sosial melibatkan seorang pendakwah dan sekumpulan para pelajar dalam sebuah majlis yang mengalunkan bait tertentu dalam bahasa Arab yang memuji guru mereka secara keterlaluan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman (JHEAIK) telah memanggil pendakwah tersebut iaitu Syeikh Muhd Zainul Asri bin Mohd Romli pada hari Ahad, 13 Oktober 2024 untuk mendapatkan penjelasan berkaitan video tersebut. 2. Beliau mengakui video tersebut telah dirakam pada tahun 2020 yang lalu, namun hanya tular baru-baru ini. Menurut beliau, perkara tersebut berlaku secara spontan bukan atas kehendak beliau. Beliau turut tidak bersetuju dengan perkara tersebut dan sekadar meraikan hasrat pelajar beliau bertujuan meraikan sambutan hari lahir beliau. 3. Pihak JHEAIK telah memberi teguran dan nasihat agar lebih berhati-hati dalam membesarkan mana-mana individu secara keterlaluan kerana dikhuatiri boleh menimbulkan persepsi negatif di kalangan masyarakat dan ketaksuban melampau sekiranya tidak dibendung, ia boleh mengakibatkan masyarakat terjerumus kepada amalan yang bercanggah dengan akidah. Pihak JHEAIK turut mengarahkan beliau agar menyampaikan teguran dan nasihat ini kepada pelajar dan pengikut beliau. 4. Beliau akur dan mengakui kesilapan yang telah berlaku dan bersedia menerima teguran serta akur dengan tindakan susulan yang akan diambil seterusnya oleh pihak JHEAIK. 5. JHEAIK berharap semua pihak di negeri ini berhati-hati dalam memberi penghormatan kepada mana-mana individu yang boleh membawa kepada pemujaan melampau agar perkara seumpama ini tidak berulang. Sekian, terima kasih. DATO' DR. HAJI ABD GHANI @ ZULKIFLI BIN HAJI ZAINUDDIN, DSDK., DIMP., DSM., AMK., BCK., ASK. PENGARAH JABATAN HAL EHWAL AGAMA ISLAM NEGERI KEDAH DARUL AMAN 13 Oktober 2024 -UPDA 10/13/2024, 4:30:51 PM 

Tiada ulasan