RM3.5 JUTA DIPERUNTUKKAN BAGI PENGURUSAN SUMBER HUTAN DI KEDAH
RM3.5 JUTA DIPERUNTUKKAN BAGI PENGURUSAN SUMBER HUTAN DI KEDAH LANGKAWI - Kerajaan negeri Kedah memperuntukkan sebanyak RM3.5 juta untuk program-program melibatkan pengurusan sumber hutan, pembangunan dan pemuliharaan hutan simpan, operasi risikan dan penguatkuasaan. Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar, YB Haji Mohamad Yusuf@Munir Haji Zakaria berkata, inisiatif ini diambil sebagai langkah serius untuk mengekang kemusnahan yang telah berlaku, terutamanya dalam sektor pertanian dan perhutanan. Tambahnya lagi, kerajaan negeri juga akan menambah bilangan taman awam, memulihkan sungai-sungai yang tercemar serta meningkatkan kawasan perlindungan laut di Langkawi. "Pemuliharaan khazanah alam semulajadi menjadi agenda utama kerajaan negeri bagi memastikan kelestarian alam sekitar kekal terpelihara," ujarnya dalam Majlis Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2024 Peringkat Kebangsaan bertempat di Garden Ballroom, Hotel Park Royal, di sini. Jelasnya, kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar Negeri Kedah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen dalam proses Pemutihan Industri bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Agensi Teknikal untuk membanteras kilang-kilang haram yang beroperasi di negeri Kedah. Menurutnya lagi, Majlis Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2024 Peringkat Kebangsaan yang diadakan itu sangat penting dan bermakna bagi meraikan usaha-usaha kelestarian alam sekitar dan memperingati betapa pentingnya alam sekitar kepada kesejahteraan hidup. "Sesungguhnya, keberangkatan Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Raja Muda Kedah bersama isteri jelas mencerminkan betapa prihatinnya baginda terhadap usaha melestari alam sekitar serta memastikan keindahan flora dan fauna terus terpelihara," titah beliau dihadapan Raja Muda Kedah. #UPDA #UrusSetiaPeneranganDarulAman -UPDA 10/22/2024, 11:30:59 AM
Post a Comment