Header Ads

test

THE GREATER KEDAH: MISI MELANGKAUI BATAS MASA


THE GREATER KEDAH: MISI MELANGKAUI BATAS MASA ALOR SETAR – Majlis pelancaran The Greater Kedah merupakan salah satu usaha membawa negeri ini ke arah kemajuan yang lebih cemerlang dan melangkaui batasan masa. Menteri Besar Kedah, YAB Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, gagasan ini akan merangkumi pembangunan ekonomi, sosial, dan perancangan strategik selain usaha mengangkat kualiti hidup rakyat Kedah. "Ini bukanlah bermakna kita menafikan usaha dan kerja keras yang telah dilakukan oleh pemimpin-pemimpin negeri yang terdahulu. "Bagaimanapun dengan status negeri yang telah sekian lama diberi taraf sebagai negeri pertanian, kita dapati ada kekangan atau halangan tertentu untuk negeri ini mara lebih jauh sederap dan selangkah dengan negeri-negeri lain yang sudah lebih maju," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran The Greater Kedah di Dewan Seri Mentaloon, Alor Setar. Tambahnya, apa yang paling penting bagi kerajaan ialah membawa kesejahteraan kepada rakyat dalam menikmati kehidupan dengan pendapatan yang mencukupi, perbelanjaan sara hidup yang tidak terlalu tinggi dan tidak kurang pentingnya ialah ketenangan hati dan perasaan serta kebahagiaan dalam kehidupan berkeluarga dan berkomuniti. Sanusi berkata, misi kita ke arah mencapai gagasan The Greater Kedah pada peringkat ini ialah Pelan Pembangunan Kedah 2035 (Kedah2035) yang mana mungkin akan ada kejayaan dicapai pada peringkat tertentu. Jelasnya lagi, memang ada kedengaran suara-suara curiga The Greater Kedah masih tidak nampak hasil, namun perlu untuk kita jelaskan bahawa untuk melihat hasil, tempohnya adalah sangat lama namun boleh dipercepatkan jika semua rakyat Kedah bersedia untuk bersatu hati dan bermuafakat dengan sebaik-baiknya. Katanya, fokus utama kita ialah membawa kesejahteraan kepada rakyat, mempromosikan pertumbuhan ekonomi dan melindungi kelestarian alam sekitar serta menjadikan Kedah sebagai negeri yang akan kekal berdaya huni selagi wujudnya dunia ini. "Sikap proaktif jabatan dan agensi serta pendekatan melakukan kerja tanpa disuruh adalah kunci kepada kejayaan pelaksanaan The Greater Kedah. "Saya percaya jika semua dari kita mengamalkan sikap ini, kita mampu mencapai status The Greater Kedah jauh lebih awal dari yang kita sasarkan," kata beliau. #UrusSetiaPeneranganDarulAman #thegreaterkedah #MBKedah -UPDA 10/27/2024, 5:07:30 PM 

Tiada ulasan