BAJET 2025: PERUNTUKAN RM300 RIBU UNTUK PROGRAM PEMBANGUNAN INSAN KEDAH
BAJET 2025: PERUNTUKAN RM300 RIBU UNTUK PROGRAM PEMBANGUNAN INSAN KEDAH ALOR SETAR - Kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM300 ribu bagi merancakkan lagi program-program pembangunan insan di Kedah. Menurut Exco Luar Bandar, Kemiskinan, dan Pembangunan Insan, Dato' Ustazah Hajah Siti Ashah Haji Ghazali, program ini tidak hanya terbuka kepada golongan belia, tetapi turut mensasarkan semua peringkat umur, merangkumi kanak-kanak hingga warga emas. "Pada tahun hadapan insya Allah, Sekretariat Pembangunan Insan Negeri Kedah (SPIK) dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) akan merancang bentuk program-program modal insan untuk membangunkan potensi individu agar dapat memberikan sumbangan kepada negara di masa hadapan," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri yang berlangsung di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini. Beliau turut memaklumkan beberapa program yang telah dan akan dilaksanakan pada tahun ini seperti Festival Insan Sejahtera, Kem Anakku Sejahtera, Program Anak Kedah Hebat, Kem Remajaku Sejahtera, Kem Bina Sahsiah dan cetakan buku 40 hadis & 40 ayat al-Quran. "Kerajaan negeri berjanji bahawa setiap program dan inisiatif yang telah diumumkan akan dilaksanakan dengan telus dan cekap. "Pemantauan rapi akan terus dilakukan untuk memastikan setiap sen yang diperuntukkan memberi manfaat maksimum kepada rakyat," jelas Ashah lagi. #sidangbajetkedah2025 #urussetiapenerangandarulaman -UPDA 11/28/2024, 1:30:27 PM
Post a Comment