Header Ads

test

KEBAJIKAN TERBELA TANPA DISKRIMINASI KAUM


KEBAJIKAN TERBELA TANPA DISKRIMINASI KAUM KULIM – Kerajaan Negeri bersikap adil dan prihatin kepada rakyat Kedah tanpa membezakan latar belakang kaum, agama, ideologi politik mahupun status ekonomi. Menteri Besar Kedah, YAB Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, hati yang bersih dan perbuatan yang baik perlu ada pada semua bangsa dan keturunan. "Kita hidup dalam sebuah masyarakat yang seumpama keluarga besar di Kedah ini, masing-masing perlu ada hati yang baik, saling menghormati antara satu sama lain," jelas beliau. Tambahnya, beliau turut menyatakan rasa bangga terhadap Pengerusi Pusat Jagaan Kanak-Kanak Batu Grace, Ramesh A/L Bathumalai atas komitmen dan susah payah dalam menguruskan pusat jagaan tersebut. "Saya sesungguhnya cukup kagum dengan semua pihak yang secara sukarela menjaga dan menguruskan rumah anak-anak yatim dan orang tua seperti ini," ujarnya. Beliau berkata demikian sewaktu berlangsungnya Majlis Sambutan Hari Deepavali 2024 di Pusat Jagaan Kanak-Kanak Batu Grace, Kulim. Jelasnya, dalam menyedari bahawa kebanyakan penduduk Kedah masih dibelenggu kemiskinan dan memerlukan pembelaan, maka beliau akan terus menjadikan golongan ini sebagai golongan yang paling dekat dengannya. "Dengan sukacitanya, saya nak umumkan untuk rumah anak yatim Batu Grace, hari ini saya ingin menyumbangkan RM5 ribu melalui bantuan peribadi saya," kata Sanusi. Jelasnya lagi, turut dicatatkan bahawa terdapat lima rumah kebajikan orang tua dan anak yatim kaum India di negeri Kedah. "Saya adalah Menteri Besar kepada semua 2.2 juta rakyat Kedah, bukan kepada melayu atau orang Islam sahaja, dan bukan kepada orang PAS sahaja, tetapi saya adalah MB kepada seluruh rakyat negeri Kedah. "Saya juga adalah pemimpin kepada 129,055 orang penduduk kaum India yang ada di Kedah ini," katanya. #UrusSetiaPeneranganDarulAman #MBKedah #deepavali2024 -UPDA 11/9/2024, 5:30:37 PM 

Tiada ulasan