KEPELBAGAIAN FUNGSI MASJID TINGKATKAN PROSES PEMBINAAN TAMADUN
KEPELBAGAIAN FUNGSI MASJID TINGKATKAN PROSES PEMBINAAN TAMADUN SUNGAI PETANI – Masjid perlu diimarahkan secara berterusan bagi memperkukuhkan kedudukan Islam di muka bumi. Menteri Besar Kedah, YAB Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, dalam sejarah Islam terdapat banyak rekod mengenai pembinaan masjid yang dilihat bukan semata-mata sebagai pusat ibadah, malahan turut dijadikan pelbagai fungsi yang signifikan dalam proses pembinaan tamadum. "Oleh kerana kita sedang mengalami kepesatan perbandaran, maka institusi Islam yang bermatlamatkan kepada kebaikan, menyeru kepada makruf dan melawan kemungkaran perlu disuburkan dan dibesarkan, sebagaimana semakin besarnya populasi di Kuala Muda ini," jelasnya. Beliau berkata demikian sewaktu Majlis Sambutan Jubli Intan 60 Tahun Masjid Al Muhsinin Kariah Kampung Raja di Sungai Petani. "Hidupkanlah amalan dan aktiviti yang boleh dilaksanakan di masjid sebagaimana yang telah diajarkan oleh Rasullulah SAW apabila baginda mendirikan Masjid Nabawi di Madinah. "Sesungguhnya saya teringin sekali hendak melihat masjid-masjid di Kedah termasuk Masjid Al Muhsinin di Kampung Raja ini bukan hanya menjadi tempat untuk beribadah," ujar beliau. Sanusi berharap masjid yang telah mencecah usia 60 tahun ini dapat berdiri teguh dengan pengimarahan yang berterusan hingga ke hari kiamat kelak. Sanusi turut berpesan agar masyarakat kini tidak menjadikan pelaksanaan ibadah sebagai suatu perkara yang dimegah-megahkan kepada khalayak umum semata-mata meraih pujian serta pengiktirafan masyarakat lain. "Saya berharap Masjid Kampung Raja ini akan dihantar oleh Allah SWT para dermawan yang sentiasa tidak kikir dan tidak kedekut untuk menyumbangkan tenaga dan wang ringgit, malahan berkorban apa sahaja untuk meninggalkan jasa mereka di dunia untuk dihitungkan sebagai amal ibadah yang akan dinilai di pertimbangan di akhirat kelak," tuturnya. #UrusSetiaPeneranganDarulAman #MBKedah -UPDA 11/16/2024, 3:30:38 PM
Post a Comment