PENTADBIRAN KERAJAAN NEGERI BERHASIL TANGANI ISU PEMILIKAN TANAH
PENTADBIRAN KERAJAAN NEGERI BERHASIL TANGANI ISU PEMILIKAN TANAH YAN – Pengurusan hak pemilikan tanah mengambil tempoh yang lama disebabkan beberapa prosedur, undang-undang dan proses penyempurnaan urusan pemberian hak milik. Menteri Besar Kedah, YAB Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, penerima geran dan lesen pendudukan sementara mesti bertanggungjawab dalam mengusahakan tanah yang diberi hak milik mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan. "Usahakanlah tanah ini sebagai sumber rezeki, dan simpan untuk diwarisi kepada anak cucu nanti agar mereka tidak merempat di bumi sendiri lantaran tidak bertanah dan tidak berharta," kata beliau. Tambahnya, merancang pengurusan harta amat penting kerana ia bukan sekadar untuk mencapai kebahagiaan dan ketenangan di dunia, tetapi untuk mencapai matlamat yang lebih besar iaitu keredhaan Allah dan kesejahteraan hidup di akhirat. Katanya, Kerajaan Negeri Kedah juga menyediakan tapak rumah kepada golongan yang memerlukan di setiap daerah melalui projek Kampung Tersusun yang dikenali sebagai Pembangunan Desa Sejahtera. "Saya bersyukur kerana dikurniakan jentera pentadbiran yang komited dan efisien daripada pihak Kerajaan Negeri termasuk pegawai-pegawai tadbir negeri, kakitangan pejabat daerah dan tanah, kakitangan dari Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah serta kerjasama jitu dari agensi-agensi Kerajaan Persekutuan yang bersama berganding bahu dalam memberikan hasil kerja yang pantas, bermutu dan berkualiti," ujar beliau. Jelasnya, Pembangunan Desa Sejahtera diuruskan oleh Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) Kedah dengan kerjasama semua pejabat daerah melalui projek Kampung Tersusun dan pelancaran pertamanya bakal dilaksanakan di Kampung Perik, daerah Padang Terap pada 20 November ini. "Selain itu, pihak kerajaan juga ada menyediakan kemudahan Skim Rumah Mesra Rakyat yang mensyaratkan untuk rumah itu dibina di atas tanah milik sendiri. "Kerajaan Negeri sedaya upaya berusaha bagi memastikan isu berkaitan pemilikan tanah dapat diselesaikan dalam tempoh yang munasabah," jelasnya. Beliau berkata sedemikian ketika Majlis Penyampaian Geran dan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) daerah Yan di Kompleks Perniagaan Guar Utama, Guar Chempedak. "Saya juga berdoa semoga pemberian geran dan LPS pada hari ini akan menjadi satu kejayaan dan hadiah bermakna yang akan diuruskan dengan baik," katanya. #UrusSetiaPeneranganDarulAman #MBKedah -UPDA 11/16/2024, 7:00:46 PM
Post a Comment