RM12 JUTA KEROSAKAN BANJIR BERJAYA DI ATASI
RM12 JUTA KEROSAKAN BANJIR BERJAYA DI ATASI ALOR SETAR – Bencana banjir telah mengakibatkan kerosakan kepada infrastruktur, tanaman padi, tanah pertanian, dan kehidupan masyarakat dengan jumlah kerugian dianggarkan mencecah RM12 juta. Menteri Besar Kedah, YAB Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, susulan daripada peralihan Monsun Timur Laut yang dijangka bermula November hingga Mac tahun depan akan menyebabkan risiko kejadian banjir menjadi lebih besar sekiranya berlaku pertembungan serentak dengan fenomena air pasang besar. "Sebagai usaha untuk memastikan kesejahteraan komuniti terjaga, Bantuan Komuniti Sejahtera (BKS) daripada Kerajaan Negeri Kedah sebanyak RM1,000 bagi setiap Ketua Isi Rumah (KIR) telah disalurkan kepada 3,621 KIR yang terjejas dalam fasa pertama bencana ini melibatkan peruntukan berjumlah RM3.6 juta," jelas beliau. Beliau berkata demikian ketika membentangkan Bajet 2025 di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini. Tambahnya, peruntukan sejumlah RM3 juta telah disalurkan oleh kerajaan negeri bagi pembekalan makan minum kepada mangsa dan petugas di Pusat Pemindahan Sementara. Sanusi berkata, Kerajaan Persekutuan menyalurkan sebanyak RM13 juta kepada Kerajaan Negeri Kedah melalui Pejabat Pembangunan Negeri Kedah (ICU). Jelasnya lagi, peruntukan wang RM3 juta daripada ICU tersebut dikhaskan untuk pembaikan infrastruktur yang terkesan disebabkan oleh bencana banjir di daerah Kota Setar. "Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) juga tampil memainkan peranan penting dalam memberi bantuan segera kepada rakyat Negeri Kedah yang terkesan akibat bencana alam terutamanya melalui Skim Baik Pulih Rumah Segera dengan bantuan sehingga RM15 ribu bagi setiap penerima dengan jumlah peruntukan keseluruhan RM2.0 juta. "Kebawah Duli yang Maha Mulia Tuanku menzahirkan keprihatinan dengan mencemar duli menziarahi dan menyantuni mangsa-mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti. Baginda turut menyampaikan sumbangan berbentuk barangan keperluan dan wang tunai melalui Tabung Amanah Sultan Kedah. Menjunjung kasih di atas keprihatinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku kepada kebajikan rakyat negeri ini, di bawah payung pemerintahan yang adil lagi bijaksana," katanya. #UrusSetiaPeneranganDarulAman #UPDA #sidangbajet2025 -UPDA 11/24/2024, 10:10:43 AM
Post a Comment