BANJIR DI LTSAH: EXCO PENGANGKUTAN TINJAU KEADAAN SEMASA
ALOR SETAR - Exco Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan, YB Haji Dzowahir Haji Ab Ghani mengadakan lawatan kerja ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) bagi meninjau keadaan semasa lapangan terbang tersebut selepas dilanda banjir baru-baru ini.
Banjir yang melanda kawasan sekitar lapangan terbang pada 29 November lalu telah menyebabkan penutupan sementara landasan terbang LTSAH.
Menurut pihak pengurusan lapangan terbang, landasan terjejas akibat limpahan air yang merosakkan beberapa bahagian struktur penting.
Lawatan itu bertujuan mengenal pasti kerosakan infrastruktur dan menilai kerugian yang dialami termasuk kerosakan pada landasan dan sistem saliran.
Beliau turut menggesa pihak pengurusan lapangan terbang dan agensi berkaitan bekerjasama dalam mempercepatkan usaha pemulihan.
"Kita akan pastikan setiap kerosakan diperbaiki supaya perkhidmatan pengangkutan udara dapat beroperasi seperti biasa. Selain itu, sistem saliran akan ditambah baik bagi mengelakkan kejadian banjir berulang pada masa akan datang," katanya.
Usaha pemulihan itu kata Dzowahir diharap dapat memastikan ia kembali beroperasi sepenuhnya dalam masa terdekat.
Post a Comment