SUMBANGAN MANGSA BANJIR BAKAL DISALURKAN MELALUI PKOB
ALOR SETAR – Kerajaan negeri mensasarkan sumbangan kepada seluruh mangsa banjir yang terjejas di negeri Kedah.
Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, gelombang kelima bagi fenomena banjir tidak melibatkan keseluruhan kawasan yang terjejas pada sebelum ini (gelombang keempat) namun lebih tertumpu di kawasan Sungai Muda dan Sungai Kedah.
Tambahnya, kerajaan turut menyedari bahawa terdapat mangsa-mangsa yang terlibat dengan banjir namun tidak berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) akibat kepenuhan kuota.
“Hari ini kerajaan memutuskan untuk mempertimbangkan sumbangan bantuan sejahtera kepada semua mangsa banjir, cuma mekanismenya perlu dibangunkan semula,” katanya sewaktu sidang media selepas Mesyuarat EXCO Kerajaan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman.
“Sumbangan sebelum ini kita beri kepada sesiapa yang berpindah ke PPS, dan kita dapat mengesan ada isi rumah yang menetap dan mendaftar di banyak PPS.
“Saya harap perkara ini akan lebih diteliti dan kita tidak mahu perkara ini berulang lagi pada kali ini,” ujarnya.
Hal demikian telah dimaklumkan oleh Pegawai Daerah mengenai beberapa kejadian yang berlaku sewaktu fenomena banjir yang lalu.
Jelasnya lagi, sumbangan akan turut disalurkan kepada mangsa banjir yang tidak berpindah ke PPS atas faktor tertentu mengikut mekanisme yang ditetapkan dan akan disalurkan melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).
“Oleh kerana kedudukan kewangan kerajaan negeri agak terhad, kita nak tentukan jumlah Ketua Isi Rumah (KIR) terlebih dahulu, baru kita tentukan berapa satu keluarga boleh terima sumbangan, kita takut umum, tiba-tiba KIR terlalu ramai, kita tak mampu.
“Saya lahirkan rasa simpati kepada mangsa-mangsa banjir yang terpaksa kehilangan barang-barang dan kerosakan yang dialami, kita juga mengalami kerosakan infrastruktur, dan saya difahamkan akan ada lawatan daripada Menteri Kewangan II yang akan turun ke Kedah, kita akan kemukakan keperluan kerajaan negeri untuk pembaikan dan pemulihan infrastruktur yang perlu diperbaiki untuk dipertimbangkan,” ucapnya.
Post a Comment